Saturday 28 July 2018

SEBAB AIDILADHA MERIAH DI KELANTAN

Sambutan Aidiladha atau Hari Raya Haji meriah di Kelantan. Namun, tidak tepat dikatakan Aidiladha disambut lebih meriah berbanding Aidilfitri. Mungkin kemeriahan Raya Korban di Kelantan terserlah kerana ia disambut meriah berbanding di negeri-negeri lain. Kemeriahan Hari Raya Haji dirasakan disebabkan tradisi sambutan yang melibatkan acara korban yang diadakan secara beramai-ramai.

Acara korban di Kelantan diadakan dalam bentuk keluarga atau diuruskan oleh pemilik asal lembu itu. Program korban melibatkan seluruh keluarga mereka yang ada bahagian lembu korban itu. Jadi, mereka akan berkumpul beramai-ramai di tempat korban.

Penglibatan semua ahli keluarga bermula dari mula lembu direbahkan, disembelih, dilapah dan pengagihan daging korban. Seawal sebaik selesai sembahyang sunat Aidiladha, masing-masing ahli keluarga akan bergerak ke tempat acara korban akan diadakan. Jadi, boleh dikatakan di setiap penjuru kampung akan kelihatan majlis korban diadakan. Fenomena ini menwujudkan satu kemeriahan.

Faktor kemeriahan ini turut menggamit anak-anak Kelantan yang berada di perantauan pulang meraikannya kerana semangat Aidiladha tidak dapat dirasai di tempat lain. Sebab itu, penduduk asal Kelantan yang tinggal di luar akan berusaha pulang berhari raya di Kelantan. Jika ada yang berkahwin dengan pasangan bukan asal Kelantan, mereka sanggup berkomporomi pulang berhari raya di rumah pasangan pada Aidilfitri asalkan dapat pula berhari raya Aidiladha di Kelantan.

Kemeriahan acara korban di Kelantan memang meriah kerana tradisinya. Daging korban yang mula-mula dilapah akan terus diambil untuk dimasak untuk dihidangkan kepada mereka yang hadir di majlis itu. Jadi, selain kesibukan melapah daging yang biasa dilakukan kaum lelaki, kaum perempuan pula akan sibuk di dapur untuk memasak.

Masakan akan siap sebaik acara melapah dan mengagihkan daging kepada tujuh bahagian selesai. Masakan cukup ringkas, tetapi cukup bermakna untuk dihidangkan kepada semua.

Agihan daging korban kepada setiap orang melaksanakan ibadat korban akan dibawa pulang ke rumah masing-masing. Selepas itu baru daging-daging itu akan diagihkan kepada golongan fakir miskin, ahli keluarga dan jiran tetangga.

Proses agihan daging korban ini juga mewujudkan suasana kemeriahan dan ukhwah seluruh masyarakat. Wujud tanda ingatan dan saling berhubungan.

Hal ini berbeza dengan ibadat korban yang dilakukan di negeri lain yang kebanyakannya diuruskan oleh pihak masjid atau kumpulan yang dikhususkan untuk menjayakannya. Ada individu yang melakukan korban yang langsung tidak terlibat dengan urusan itu. Apa yang dilakukan hanya membayar harga korban dan niat korBan. Yang lain diuruskan sepenuhnya oleh pihak lain.

No comments:

Post a Comment