Saturday 28 July 2018

TIDAK DITETAPKAN NILAI BINATANG KORBAN

Para ulama berpendapat tidak menjadi soal kecil atau besar dan mahal atau murah ternakan yang ingin dikorbankan. Apa yang penting ialah keikhlasan dan mengikut kemampuan. Allah SWT memberi kemudahan kepada sesiapa yang ingin melakukan kebaikan.

Bagi yang mampu, digalakkan memilih ternakan yang terbaik untuk dikorbankan seperti sunah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW setiap kali berkorban memilih ternakan yang baik, sihat dan gemuk. 

Muslim meriwayatkan daripada Anas mengatakan Rasulullah SAW menyembelih korban dengan dua kibas yang terbaik dengan tanganya sendiri dengan membaca Bismillahi Allah dan bertakbir dan meletakkan kakinya di atas rusuk di sebelah tengkok kedua-dua kibasnya itu.

Para ulama berpandapat bahawa ibadat korban adalah sunat muakkad berdasarkan kepada hadis yang bermaksud: “Saya disuruh menyebelih korban, dan korban itu sunat bagi kamu.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Ibadat korban adalah tanda kesyukuran terhadap rezeki yang diterima. Ini memenuhi tuntutan agar kita sanggup membelanjakan harta benda kepada jalan kebajikan.

Daging korban perlu disedekahkan kepada golongan fakir, miskin, dan golongan yang meminta untuk membantu golongan tersebut. Dengan cara itu golongan kurang mampu juga dapat menikmati hidangan daging yang lebih lazat dan berkhasiat pada hari Aidiladha.

Amalan itu juga dapat mengeratkan hubungan antara golongan mampu dengan golongan miskin. Golongan miskin tidak akan merasakan dirinya tersisih daripada orang lain dan dapat bersama-sama bergembira menyambut Aidiladha. 

Daging korban boleh dimakan oleh orang melakukan korban itu dan ahli keluarganya. Bagaimanapun kadar yang dibenarkan tidak melebihi satu pertiga daripada jumlah daging itu. 

Selain diagih-agihkan dalam bentuk daging mentah, daging korban juga boleh dimasak oleh orang melakukan ibadat korban dan dijadikan sebahagian daripada jamuan menyambut Aidiladha.  

Pengajaran (ibrah) daripada sejarah korban dan kepentingannya kepada umat Islam pada hari ini ialah untuk memahami keutamaan dan maqasid pensyariatan ibadah haji serta korban iaitu pengharapan mutlak kepada Allah, mendahulukan reda Allah atas segala kecintaan kepada manusia. Pengajaran lain ialah tidak menjadikan korban sebagai landasan untuk bermegah, mencari keutamaan duniawi seperti nama, pengaruh dan seumpamanya sehingga mengabaikan matlamat pensyariatannya.

Mengutamakan yang utama dalam isu pembahagian daging korban, iaitu kepada fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim serta jiran tetangga supaya dapat disemai ikatan kasih sayang dan ukhuwah antara mereka yang kekurangan dengan berada.

Disarankan mengutamakan ibadah korban berbanding ibadah akikah kerana ibadah korban sekali saja dalam setahun dengan masa yang khusus manakala ibadah akikah boleh dilaksanakan sepanjang tahun.

Membudayakan aktiviti penyembelihan korban sebagai aktiviti berjemaah yang membawa kepada kemuafakatan dengan mengetepikan ideologi jemaah, kumpulan, NGO dan parti politik. Juga mendahulukan korban sendiri berbanding diwakili kepada pihak lain kerana itu akan mengurangkan penghayatan ibadat korban.

Memberi penerangan kepada bukan Islam mengenai ibadah korban yang sering disalah anggap sebagai satu bentuk penyeksaan kepada binatang. Perlu difahamkan, penyembelihan dilakukan dalam cara yang terbaik, dapat mengeluarkan darah paling maksimum dan paling cepat, berbanding sebahagian teknik sembelihan moden yang menyeksa binatang.

No comments:

Post a Comment