Saturday 28 July 2018

APA HUKUM MELAKUKAN IBADAT KORBAN

Ulama sepakat mengatakan hukum melakukan ibadat korban yang yang berkemampuan adalah sunat muakad atau sunat yang amat dituntut dilakukan. Namun terdapat di kalangan ulama yang mengatakan melakukan ibadat korban bagi yang berkemampuan adalah wajib.

Mereka berpegang kepada hadis bermaksud: “Barang siapa yang mempunyai kelapangan (mampu) untuk berkorban tetapi tidak dilakukannya, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami bersembahyang ini." (Hadis riwayat Ahmad dan Ibni Majah)

Dalam hadis itu, Rasulullah SAW memberi amaran kepada orang yang ada kemampuan kewangan atau binatang ternakan berkorban, dan jika dia tidak berkorban, ia dilarang daripada menghadiri dirinya ke masjid untuk sembahyang. Ini menunjukkan bahawa korban adalah wajib, menurut tafsiran Imam Abu Hanifah. Jika tidak, Rasulullah SAW tidak memberi amaran sedemikian rupa.

Ulama yang mengatakan korban itu sunat muakad, seperti Imam Syafie, mereka berdalil dengan beberapa hadis Rasulullah, antaranya hadis yang diriwayatkan Tirmizi, bahawa seorang lelaki bertanya Ibnu Omar mengenai korban, adakah korban itu wajib? Ibnu Omar menjawab, “Rasulullah SAW berkorban dan juga sekalian orang Islam lain. Lelaki itu mengulangi pertanyaan kepada Ibnu Omar, beliau menjawab, Tidakkah engkau berfikir? Rasulullah SAW telah berkorban dan juga sekalian orang Islam (pun berkorban).”

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu." (Hadis riwayat Tirmizi)

Berdasarkan pengertian hadis itu, ulama seperti Sifian Ath-Thauri dan Ibnu Mubarak serta lain-lain mengatakan korban tidak wajib, akan tetapi ia adalah sunat. Dalam kedua-dua hadis itu jelas menunjukkan korban diperintah oleh Allah supaya kita melakukannya, dan ia adalah sunat muakad ke atas seluruh umat Islam. Korban wajib ke atas Baginda Rasulullah SAW saja.

Tidak semua umat Islam disunatkan berkorban. Ia hanya disunatkan ke atas mereka yang cukup syaratnya iaitu orang Muslim yang merdeka, cukup umur lagi berakal, hendaklah ia memiliki wang atau harta yang lebih bagi perbelanjaan diri sendiri dan orang di bawah tanggungannya. Jika seseorang tidak mencukupi syarat di atas, maka orang itu tidak disunatkan berkorban.

Satu peristiwa penting yang ada hubungan dengan amalan korban ialah peristiwa Nabi Allah Ibrahim yang diperintahkan Allah untuk mengorbankan anaknya, Nabi Allah Ismail. Hal ini diterangkan dalam al-Quran.

Kisahnya bermula apabila Nabi Ibrahim bermimpi diperintahkan Allah menyembelih anaknya, Ismail. Baginda pun bermusyawarah dengan anak dan isterinya (Siti Hajar), bagaimana pendapat keduanya mengenai mimpi itu.

Berkata Siti Hajar. “Barangkali mimpi itu permainan tidur belaka maka janganlah engkau melakukannya. Akan tetapi apabila mimpi itu adalah wahyu Allah yang harus ditaati maka saya berserah diri kepada Allah yang sangat pengasih dan penyayang terhadap hambanya.”

Berkata pula Nabi Ismail, “Ayahku!, apabila ini adalah wahyu yang harus kita taati, maka saya pun rela untuk disembelih.” Maka ketiga-tiga beranak itu ikhlas untuk melakukan perintah Allah.

Dalam perjalanan ke tempat korban, mereka bertemu seorang lelaki tua yang melarang Nabi Ibrahim meneruskan niatnya dengan pelbagai alasan. Katanya, “Tidakkah terfikir oleh kamu betapa sukar kamu hendak mendapatkannya. Jika kamu laksanakan juga, ia bukan saja menghancurkan hati Hajar, ibu kandungnya (Ismail), tetapi juga hati ibu tirinya, Sarah.”

Pujukan orang tua tidak dikenali itu sama sekali tidak mematahkan semangat Nabi Ibrahim dan anaknya. Mereka tahu kata-kata itu adalah suara iblis yang menyerupai manusia. Lalu ditabahkan hati mereka sambil bertindak melemparkan batu kecil ke arah lelaki itu.

Lembaga itu akhirnya hilang. Sebenarnya ada tiga tempat syaitan ini cuba menggoda dan menghasut Nabi Ibrahim iaitu di Jamrah al-Ula, Jamrah al-Wusta dan Jamrah al-Aqabah.

Bagaimanapun, syaitan tidak berjaya menghalang niat Nabi Ibrahim. Peristiwa pada ketiga-tiga tempat itu dijadikan salah satu rukun dalam ibadat haji yang mengandungi simbolik dalam memerangi gangguan dan hasutan syaitan.

Selepas berjaya menewaskan syaitan, Nabi Ibrahim bersedia melakukan penyembelihan anaknya itu. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tatkala kedua-duanya tunduk menurut perintah Allah dan digulingkan anaknya ke tanah hendak disembelihnya, lalu kami berseru, hai Ibrahim, sesungguhnya engkau turuti mimpi itu. Begitulah kami membalas orang yang baik, Sesungguhnya ini ujian yang nyata daripada Allah. Kami tebus anaknya itu dengan seekor kibas yang gemuk dan kami tinggalkan nama yang baiknya sampai kepada orang kemudian. Selamat sejahteralah Ibrahim.” (Surah ass-Saffat, ayat 103-109)

Peristiwa itu menunjukkan betapa tinggi, betapa agungnya pengorbanan Nabi Allah Ibrahim demi menurut perintah Allah. Semangat dan roh daripada pengabdian diri secara mutlak dan menyeluruh kepada Allah inilah yang hendak diajar dan ditarbiyah Islam kepada pemeluknya di muka bumi ini.

Peristiwa korban juga mengajar umat Islam supaya berkorban apa saja, termasuk nyawa sendiri demi menegakkan kalimah tauhid. Jadi, korban bukan saja berbentuk harta benda, tetapi termasuk soal yang menyentuh hati nurani seseorang insan.

Ada riwayat mengatakan, bagi sesiapa yang melakukan ibadat korban maka pada hari kiamat nanti, segala amalannya akan menjadi saksi di sisi Allah. Diriwayatkan oleh Tarmizi dan Al-Hakim bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya (binatang) korban itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk, bulu dan kukunya dan sesungguhnya darahnya jatuh ke sisi Allah pada satu tempat kemuliaan lebih dulu daripada jatuh ke bumi. Maka bergembiralah diri kamu dengan korban itu.”

Waktu untuk melakukan korban ialah pada hari raya Aidiladha (10 Zulhijah) dan hari Tasyrik. Pada hari itu, umat Islam dilarang berpuasa. Apakah hikmatnya larangan berkenaan? Larangan berkenaan bagi membolehkan seramai mungkin umat Islam menikmati daging korban.

Pemberian sebahagian daging korban oleh sesiapa yang melakukan korban menunjukkan Islam mengajar umatnya konsep jemaah dan perpaduan.

Orang yang melakukan korban seharus mengetahui hikmah dan falsafah yang terkandung di dalam ibadat korban. Oleh sebab itu disunatkan untuk khatib menyentuh mengenai peristiwa korban Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail, di dalam khutbah Aidiladha.

No comments:

Post a Comment