Monday 28 October 2019

PENYAKIT PUNCA MENGANTUK SIANG HARI


Gejala mengantuk pada siang hari antara lain berpunca penyakit yang dihadapi. Biarpun telah mendapat tidur yang cukup dan berkualiti pada waktu malam, gejala mengantuk itu masih dirasai pada waktu siang.

Antara penyakit yang sering dikait dengan gejala mengantuk ialah:

Anemia
Kandungan zat besi yang rendah menyebabkan penghidapnya mudah rasa mengantuk kerana kandungan oksigen kurang dalam darah. Bahkan penderita sering rasa mengantuk meskipun sudah menikmati tidur yang mencukupi.

Penyakit jantung
Antara tanda jantung tidak baik adalah tubuh sering berasa mengantuk, lemah dan lelah. Lebih ketara gejala itu dihadapi ketika waktu siang. Selain itu, gejala awal penyakit jantung biasanya menyebabkan gangguan tidur pada waktu malam termasuk sukar bernafas.

Hipertensi
Lazim bagi penderita tekanan darah tinggi tidak menikmati tidur nyenyak pada waktu malam. Gejala sakit kepala dan tekanan serta sakit pada bahagian bahu selain leher membuatkan mereka tidak cukup tidur. Tidak hairan keesokan hari mereka mudah berasa letih dan kurang bermaya.

Hiperkalsemia
Kadar kalsium dalam darah antara punca penyakit hiperkalsemia yang berpunca daripada gangguan terhadap sistem saraf, jantung dan pencernaan. Kadar kalsium yang normal dalam tubuh adalah sekitar 8,2 - 10,2 mg/dL, namun penderita hiperkalsemia memiliki kadar kalsium antara 12 mg/dL hingga melebihi 14 m/dL.

Hipotiroidisme
Penyakit hipotiroidisme membuatkan pesakit sukar tidur malam, lantas mengantuk pada waktu siang. Hormon tiroid yang dihasilkan kelenjar tiroid berfungsi membantu tubuh atur waktu tidur tetapi jika terlalu banyak, ia sebaliknya mengganggu waktu tidur.

Hiponatremia
Hiponatremia adalah gangguan elektrolit ketika kadar natrium dalam darah lebih rendah daripada sepatutnya. Kadar penurunan natrium yang pantas boleh menyebabkan kemudaratan kerana ia penting mengendalikan kadar air dalam tubuh, menjaga tekanan darah serta mengatur sistem saraf dan otot.

Justeru, individu yang mengalami gejala mengantuk kronik yang berpanjangan dinasihatkan agar mendapat pemeriksaan kesihatan menyeluruh untuk mengenalpasti puncanya.

No comments:

Post a Comment