Wednesday 27 November 2019

BUAH MARKISA RASA MASAM MANIS

Pokok Markisa atau juga dikenali sebagai buah susu, merupakan sejenis pokok yang menjalar. Pokok yang dibiakkan melalui biji ini perlukan kepada para atau tiang untuk memanjat bagi mendapatkan cahaya matahari.

Pokok markisa ini terdapat di kebanyakan negara-negara tropika dan sub-tropika terutama di Australia, India, Kenya, New Zealand dan Hawaii.

Dua varieti yang biasa ditanam untuk tujuan komersial ialah markisa berkulit warna kuning (Passiflora edulis f.flvicarpa) dan buah markisa berkulit warna ungu (Passiflora edulis sim).

Varieti kuning didapati lebih sesuai ditanam di Malaysia kerana boleh mengeluarkan hasil yang lebih tinggi berbanding varieti ungu.

Varieti kuning ini telah dibawa ke Malaysia dari Australia dan Hawai  pada tahun 1960an.

Di Malaysia, markisa dari varieti kuning mula menghasilkan buah dalam jangka masa 5-6 bulan selepas tempoh penanaman dan jangka hayat pokok adalah lebih kurang 3 tahun.

Faktor tanah memainkan peranan penting, iaitu markisa kurang menggemari tanah bertakung air. Pembajaan juga penting bagi menjamin pokok ini berbuah.

Baja foliar umpamanya menjadikan pokok tumbuh merimbun dan berdaun lebat. Bagi memastikan ia berbunga dan berbuah, pokok mesti diberi baja yang meggalakkan pembungaan dan penghasilan buah.

Pokok markisa menghasilkan bunga yang menarik berwarna putih dan ungu. Untuk menjadi buah, bunga itu perlukan proses pendebungan. Buah markisa matang 74 hari selepas pendebunga.

Buah markisa berbentuk bulat dengan kulit licin berkilat berwarna hijau dan bertukar kepada kuning atau ungu apabila masak mengikut varieti.

Buahnya yang rasa sedikit masam dan manis boleh dimakan begitu sahaja ataupun dijadikan minuman.  

Buah markisa boleh didapati sepanjang tahun tetapi puncak pengeluarannya ialah di antara bulan Disember hingga Januari dan Julai hingga Ogos.

Buah markisa ungu sesuai dimakan mentah manakala buah markisa kuning pula sesuai digunakan untuk penghasilan jus. Pulpa markisa boleh dijadikan jem, agar-agar, perasa ataupun campuran kepada yoghurt dan aiskrim.

Selain mempunyai citarasa dan aroma yang unik, jus markisa merupakan  sumber yang kaya dengan pro-vitamin A, vitaman C, niasin, dan riboflavin. Ia boleh dijadikan komponen untuk minuman sirap, kek, roti dan susu. Kulit buah markisa pula boleh dijadikan makanan ternakan.

No comments:

Post a Comment