Saturday 9 November 2019

HUKUM MELAKUKAN ONANI


Amalan onani terjadi kerana nafsu syahwat yang berlaku secara langsung dan tidak langsung memberi rangsangan kepada individu itu untuk melakukan sesuatu semata-mata ingin merasai nikmat keseronokan, kelegaan, ketenangan dan kepuasan syahwat.

Dari segi hukum syariat, ada yang mengemukakan riwayat menyatakan: “Terkutuk siapa yang menikahi tapak tangannya.” Ini dimaksudkan dengan onani. Akan tetapi riwayat ini daif (lemah).

Meskipun demikian, ada ulama menilai onani adalah haram. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun ayat 5-7, Allah SWT ada menyebut ada dua bentuk penyaluran nafsu yang dibenarkan iaitu melalui isteri dan hamba sahaya. Berdosa seseorang yang mencari penyaluran selain daripada itu.

Allah SWT berfirman: “Dan orang yang memelihara kemaluannya, kecuali terhadap isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Tetapi sesiapa yang mencari di sebalik itu (zina dan sebagainya), maka mereka itulah orang yang melampaui batas.”

Ulama bermazhab Hanafi menilai onani pada dasarnya suatu yang terlarang, namun ia dibenarkan apabila memenuhi tiga syarat. Pertama, disebabkan tidak mampu berkahwin. Kedua, bimbang terjerumus dalam perzinaan. Dan ketiga, tujuannya bukan sekadar memperoleh kelazatan.

Agaknya inilah pandangan yang lebih tepat, asalkan perkara itu tidak selalu dilakukan dan tidak mengakibatkan terganggu kesihatan. Akan tetapi, sekiranya mengakibatkan gangguan atau terjejasnya pelajaran dan pekerjaan, maka kesan negatif ini menjadikan hukum onani adalah haram.

Sebahagian yang lain meletakkan syarat bahawa yang melakukannya hendaklah mereka yang tidak mampu menyalurkan nafsu seksnya dengan cara yang disuruh oleh agama seperti berpuasa dan bersukan.

No comments:

Post a Comment