Monday 8 February 2021

ATM TINGKATKAN PEMBELIAN ASET PERTAHANAN

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Sabri Ismil Yaakob ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2021 bagi Kementerian Pertahanan antara lain menyentuh mengenai Pencapaian Bagi Tahun 2020 serta Perancangan Kementerian Pertahanan untuk memperkasakan ATM dalam Peruntukan Belanjawan Tahun 2021. Antara intipati ucapan itu ialah berkaitan Pembelian Aset ATM.

Aspek pembelian atau perolehan aset ATM memang satu perkara yang penting diberi perhatian. Aset dan persenjataan moden amat penting bagi meningkatkan kemampuan ATM dalam memperkukuhkan dan mempertingkatkan kawalan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan perairan serta daratan negara.

Tanpa peralatan moden dan menepati kegunaan semasa, amat sukar untuk ATM melaksanakan tugas dengan berkesan biarpun mempunyai anggota yang mahir dan berdedikasi melaksanakan tugas.

Ismail Sabri kerap kali menekankan aspek meningkatkan keupayaan ATM dengan pembelian aset-aset baharu untuk menggantikan aset yang telah lama digunakan dalam ATM, selain mendapatkan peralatan baharu yang menepati keperluan semasa.

“Baru-baru ini, dalam pembentangan Belanjawan 2021 yang diumumkan, pembelian peralatan dan aset ketenteraan sendiri, begitu juga dengan bajet untuk Op Benteng. Jadi kawalan akan lebih ketat,

“Kerajaan juga akan menambah pembelian dron, bot pemintas yang akan dibeli oleh ATM, semua ini akan memperkukuhkan kawalan di kawasan sempadan negara,” tambahnya.

Tidak dapat dinafikan keupayaan ATM dan agensi penguatkusaan lain mampu melaksanakan tugas Op Benteng dengan berkesan, namun jika ada penambahan aset yang baharu ini, kita yakin pasukan keselamatan kita mampu untuk mengawal kemasukan warga asing tanpa izin (PATI) dari memasuki negara kita dengan lebih kesan.

Tahun ini dan beberapa tahun mendatang, ATM akan mendapat beberapa aset pertahanan moden untuk digunakan dalam ketiga-tiga cabang perkhidmatan Darat, Laut dan Udara.

Awal tahun ini, TLDM telah menerima Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship) kedua bermula menerima penyerahan fizikal LMS yang dinamakan SUNDANG itu di Wuchuan Shipbuilding Industry Co Ltd Wucang Port, Qidong, Shanghai, China setelah melepasi beberapa penilaian dan pemeriksaan oleh Jawatankuasa Penerimaan Akhir (JKPA) yang diketuai oleh Kepten Abdullah Hadi Tan Abdullah TLDM pada 14 Januari 2021.

Tentera Darat dijangka menerima enam helikopter jenis MD530G secara berperingkat mulai Jun tahun ini untuk digunakan dalam Pasukan Udara Tentera Darat.

Untuk TUDM pula telah diluluskan tender pembelian ‘Maritime Patrol Aircraft’ (MPA),‘Unmanned Aircraft Systems’ (UAS) dan ‘Ground Based Radar’.

Selain itu, kerajaan juga telah meluluskan pemohonan sewaan helikopter bagi menggantikan helikopter Nuri yang ditamatkan perkhidmatan.

Untuk meningkatkan kuasa tembakan, sebanyak 18 laras sistem artileri LG1 Mark III Nexter 105mm (Nexter LG1 105mm) buatan Perancis bakal diserahkan kepada Tentera Darat bagi menggandakan kekuatan pasukan itu.

Perolehan Nexter dibekalkan kepada Rejimen Pertama Artileri Diraja (1 RAD Para) dengan jumlah keseluruhan akan ditambah secara berperingkat-peringkat.

Ia bagi menggantikan sistem artileri sedia ada iaitu Oto Melara L5 Pack Howitzer 105mm yang telah digunakan sejak 50 tahun lalu.

Meriam yang banyak berjasa ini telah menjadi tulang belakang medan tempur sepanjang operasi TD memerangi pengganas komunis sehinggalah semasa pertempuran di Lahad Datu.

Pemilihan sistem artileri ini sekali gus menamatkan program penggantian meriam baharu TD yang telah dirancang sejak pertengahan tahun 90-an.

Nexter LG1 105mm direka bagi operasi pasukan atur gerak cepat selain boleh ditunda menggunakan kenderaan pacuan empat roda, dibawa menggunakan helikopter atau digugurkan dengan payung terjun.

Bentuknya yang kompak dengan berat kira-kira 1,650 kilogram sesuai untuk dioperasikan mengikut geografi negara ini.

Penyerahan sistem artileri LG1 Nexter 105mm juga memberi gambaran bahawa cadangan TD untuk membesarkan lagi kekuatan RAD akan berjalan sepertimana dirancang.

Melalui Belanjawan 2021 yang diumumkan baru-baru ini, Kementerian Pertahanan menerima sebanyak RM15.86 bilion di mana RM1.6 bilion bagi perolehan aset baharu manakala penyelenggaraan aset utama pula berjumah RM2.3 bilion.

Pastinya pihak Kementerian Pertahanan di bawah kepimpinan Ismail Sabri lebih arif untuk menguruskan perbelanjaan tersebut bagi terus memperkasakan ATM demi melindungi kepentingan negara.

No comments:

Post a Comment