Tuesday 27 April 2021

Kompaun mesti mengikut garis panduan

PUTRAJAYA – Pindaan yang dibuat terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah untuk menaikkan kadar kompaun yang boleh dikenakan bagi sesuatu tindakan atau perbuatan yang menjadi kesalahan kerana menyebabkan penularan wabak Covid-19 dalam negara ini. Namun begitu langkah mengenakan kompaun di bawah Akta tersebut mesti dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Kerajaan telah menggubal Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun di bawah Akta 342 untuk dijadikan panduan kepada pihak penguatkuasa yang menjalankan penguatkuasaan pematuhan SOP yang ditetapkan.

Mengikut garis panduan tersebut, perbuatan seseorang pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi premis merupakan kesalahan kategori 3 yang boleh dikenakan kompaun maksima RM10,000.00.

Pesalah-pesalah pula diberikan kadar pengurangan sebanyak 50% sekiranya membayar kompaun tersebut dalam tempoh 7 hari dan 25% sekiranya dalam tempoh 14 hari.

Segala tindakan mengenakan kompaun bagi kesalahan-kesalahan di bawah undang-undang adalah semata-mata bertujuan pencegahan dan memberi pengajaran kepada pelaku-pelaku agar semua pihak individu mahupun peniaga sama-sama bertanggungjawab dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 dalam komuniti yang masih lagi berada di peringkat kritikal dan serius.

DATUK SERI TAKIYUDDIN BIN HASSAN
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
(Parlimen & Undang-Undang)
27 April 2021

 

No comments:

Post a Comment