Wednesday 28 April 2021

PENGUATKUASA PERLU BERHEMAH, BIJAKSANA

Di media sosial semakin banyak rasa kecewa rakyat kepada kerajaan, terutama dalam perkara penguatkuasaan undang-undang. Perkara yang sering dibangkitkan ialah layanan atau tindakan berbeza terhadap dua golongan berbeza dalam perkara yang sama.

Sebenarnya apa yang berlaku ialah layanan berbeza kerana keadaan berbeza. Namun, banyak yang tidak faham tentang perkara tersebut bagaimana sesuatu tindakan diambil pihak penguatkuasa berdasarkan situasi berbeza biarpun seperti nampak sama.

Contohnya dalam soal kompaun melanggar SOP Covid-19. Penguatkuasa boleh terus mengeluarkan saman kompaun kepada individu melanggar SOP pada masa dan tempat pelanggaran itu berlaku.

Sebaliknya, jika pihak polis menerima laporan daripada orang ramai bahawa sesuatu pelanggaan SOP telah dilakukan oleh individu, maka kertas siasatan perlu dilakukan sebelum sesuatu tindakan dikenakan.  

Pindaan yang dibuat terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah untuk menaikkan kadar kompaun yang boleh dikenakan bagi sesuatu tindakan atau perbuatan yang menjadi kesalahan kerana menyebabkan penularan wabak Covid-19 dalam negara ini.

Namun begitu langkah mengenakan kompaun di bawah Akta tersebut mesti dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Kerajaan telah menggubal Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun di bawah Akta 342 untuk dijadikan panduan kepada pihak penguatkuasa yang menjalankan penguatkuasaan pematuhan SOP yang ditetapkan.

Mengikut garis panduan tersebut, perbuatan seseorang pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi premis merupakan kesalahan kategori 3 yang boleh dikenakan kompaun maksima RM10,000.00.

Pesalah-pesalah pula diberikan kadar pengurangan sebanyak 50% sekiranya membayar kompaun tersebut dalam tempoh 7 hari dan 25% sekiranya dalam tempoh 14 hari.

Segala tindakan mengenakan kompaun bagi kesalahan-kesalahan di bawah undang-undang adalah semata-mata bertujuan pencegahan dan memberi pengajaran kepada pelaku-pelaku agar semua pihak individu mahupun peniaga sama-sama bertanggungjawab dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 dalam komuniti yang masih lagi berada di peringkat kritikal dan serius.

Apa yang perlu diberi perhatian sekarang ini ialah kefahaman pihak penguatkuasa. Jangan sewenang-wenang menggunakan kuasa yang diberikan sehingga lupa kepada nilai bijaksanaan dalam mengambil sesuatu tindakan.

Kuasa yang diberikan kepada mereka bukan sahaja mengeluarkan surat saman kompaun. Mereka juga boleh mengambil tindakan dengan memberi amaran dan nasihat.

Imej kerajaan tercemar akibat tindakan penguatkuasa yang tidak berhemah dalam melakukan sesuatu tindakan.  

No comments:

Post a Comment