Monday 21 June 2021

PM hilang hak tentu tarikh persidangan parlimen

Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan. Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi YDPA berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

Perkara 40 (1) itu biarpun menyebut tentang kedudukan YDPA, namun hakikatnya ia berkaitan peranan kuasa Perdana Menteri dalam menasihati YDPA.

Peranan ‘menasihati’ itu tidak terpakai lagi di bawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat 2021.

Seksyen 14 menyatakan peruntukan Perlembagaan Persekutuan (iaitu dimaksudkan Perkara 55) yang berkaitan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen adalah tidak mempunyai kesan sehinggalah suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh YDPA.

Perkara ini dinyatakan dalam Seksyen 14(1)(b), "Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh YDPA".

Ini bermakna kabinet telah bersetuju memberikan kuasa kepada YDPA untuk memanggil persidangan parlimen tanpa mendapat nasihat daripada Perdana Menteri seperti yang didakwa kononnya Artikel 40 masih berkuatkuasa.

Apabila kabinet telah memberi kuasa kepada YDPA maka Artikel 40 tidak terguna pakai sehingga tamat darurat.

Maka, apabila YDPA menitahkan mengadakan persidangan Parlimen dengan ‘segera’, maka ia perlu disegerakan.

Rancangan Perdana Menteri untuk mengadakan persidangan Parlimen pada September seperti yang dinyatakan dalam pelan pemulihan yang diumumkan Perdana Menteri seharusnya tidak terpakai.

Tempoh untuk sampai bulan September ada kira-kira 3 bulan lagi. Itu tidak lagi membawa maksud ‘segera’ seperti dititahkan oleh YDPA.

Perdana Menteri telah ‘hilang’ hak untuk menasihati YDPA berkaitan masa mengadakan sidang Parlimen berdasarkan Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat 2021.

No comments:

Post a Comment