Monday 4 July 2022

TANDA PENYAKIT HATI

 
Diri seorang insan diciptakan Allah SWT dengan gabungan jasad dan roh. Fungsi jasad adalah melaksanakan segala arahan yang ditetapkan Allah SWT dan roh berupaya menjadikan jasad dapat melaksanakan perintah terbabit.

Apabila akal disinari dengan cahaya keimanan, maka segala kebaikan akan menghiasi kehidupan seseorang insan. Begitu juga sebaliknya apabila akal tidak dapat menerima cahaya iman lantaran dorongan hawa nafsu yang menawarkan kelazatan dan keseronokan dunia.

Gerakan hati akan mendengar daripada pandangan akal dan nafsu akan membuat keputusan yang akan menentukan segala keputusan, sama ada membenarkan iman bertapak terhadap Allah atau sebaliknya.

Justeru, Baginda SAW mengingatkan kita bahawa hati amat berperanan dalam menentukan kebaikan dan kejahatan.

Sabda Baginda SAW bermaksud: "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika sekiranya daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Namun, jika seandainya daging tersebut rosak, maka rosaklah seluruh anggotanya. Daging yang dimaksudkan adalah hati". (Hadis riwayat Bukhari).

Antara tanda penyakit hati ialah bercakap (mahupun menulis) dengan tujuan menganalisa kesalahan dan kesilapan pihak-pihak lain. Banyak memainkan cerita salah orang lain. Suka melihat orang lakukan kesalahan. Macam puas hati bila orang buat salah.

Kalau orang lain dilihat salah, maka menganggap diri telah menjadi mangsa kejahatan orang lain. Menuduh dan mempersalahkan orang-orang lain atas musibah yang menimpa diri sendiri.

Sahabat Rasulullah yang bernama Ibnu Masu'd berkata, "Orang mukmin melihat dosa pada dirinya seolah-olah dia berada di bawah bukit yang akan menghempapnya, manakala orang munafik melihat dosanya umpama lalat yang hinggap di atas hidungnya lalu menepis dengan tangannya sahaja dan terbanglah lalat tersebut."

Justeru, kita sebagai seorang mukmin sewajarnya berusaha membersihkan hati dengan bertaubat dan beristighfar serta berdoa kepada Allah. Baginda SAW bersabda maksudnya: "Wahai Allah yang membolakbalik hati-hati, tetapkanlah hatiku agar sentiasa berada di atas landasan agama-Mu." (Hadis riwayat Tirmizi).

1 comment:

  1. Good morning Tuan Lokman Ismail. I read a few postings of your's. I decided to follow. Thank you. All is Well.

    ReplyDelete