Tuesday 13 September 2022

HIDUP LAWANNYA MATI

 
Hidup lawannya mati. Bukan bermaksud kita hendak berlawan dengan mati atau tidak mahu mati. Tetapi maksudnya, yang hidup pasti akan mati.

Kita yang hidup ini pasti akan mati. Bersedialah untuk mati pada bila-bila masa biarpun sekarang ini tidak mengalami apa-apa penyakit berbahaya dan usia masih muda kerana mati tidak semestinya kerana sakit dan pada usia apabila telah tua.

Kehidupan di dunia ini hanya persinggahan sementara dalam perjalanan menuju kehidupan kekal abadi di akhirat. 

Kita pasti menghadapi saat kematian sepertimana firman Allah dalam surah al-Anbia ayat 34 bermaksud: “Setiap yang bernyawa pasti akan mati.” 

Dalam ayat lain pula Allah menjelaskan bahawa apabila tiba masa ajal, maka ia tidak dapat dipercepatkan atau diperlambatkan walaupun sesaat. 

Firman-Nya yang bermaksud: “Dan bagi setiap umat ada tempoh masanya (yang telah ditetapkan), maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka melambatkan walaupun sesaat, dan tidak dapat pula mereka mempercepatkannya.” (Surah al-Araf, ayat 34).

Setiap hari di sekeliling kita terdapat saudara, kawan, jiran dan lain-lain diketahui meninggal dunia secara tiba-tiba, selain yang meninggal ‘dijangkakan’ disebabkan penyakit dan usia tua. 

Sebenarnya tidak ada teknologi, atau kuasa lain yang dapat menghalang kematian yang telah ditetapkan. Usaha manusia mencipta teknologi proses beku bagi melanjutkan usia manusia (seseorang dikomakan dan kemudian disedarkan kembali pada masa akan datang) tetap tidak dapat mengelak daripada kematian kemudiannya.

Allah menempelak usaha orang yang mengatakan malaikatulmaut tidak dapat mencabut nyawanya kerana berada di tempat kukuh dan tinggi. Firman Allah bermaksud: “Di mana juga kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.” (Surah an-Nisa, ayat 78).  

Oleh itu setiap orang perlu bersedia bila-bila masa untuk menghadapi saat kematian.  Kematian tidak hanya berlaku apabila usia sudah tua atau mengidap penyakit. Ramai yang menempuh saat kematian ketika usia masih muda dan dalam keadaan yang sihat.

No comments:

Post a Comment