Sunday 5 February 2023

HUKUM AGAMA DIUBAH BUKAN UNTUK KEPENTINGAN DIRI

  
Haram menjatuhkan kerajaan Islam. Sesiapa menjatuhkan kerajaan Islam samalah merosakkan Islam. Islam mewajibkan kerajaan Islam dipertahankan bagi membuka ruang untuk Islam terus berkembang dan berkuasa.  
 
Keadaan perpecahan dan saling menjatuhkan sesama Islam yang berterusan akan memberikan kesan buruk kepada umat Islam dan sekali gus meletakkan perkembangan Islam di negara ini dalam keadaan tidak menentu.  
 
Bukan Islam menjadi keliru adakah benar Islam sukakan keamanan dan perpaduan, sedangkan apa yang ditunjukkan oleh mereka memperjuangankan Islam berlaku sebaliknya. 
 
Jangan disebabkan gila kuasa dan kepentingan sendiri menyebabkan undang-undang tidak dipedulikan. Peraturan agama perlu dipatuhi, bukan dibuat main-main ikut suka suka saja. 
 
Jika di kalangan pemimpin yang dilihat warak dan alim sanggup melakukan perkara menyalahi agama demi kuasa, maka imej kepimpinan ulama akan tercemar dan tidak dipercayai lagi.  
 
Apa-apa hukum atau ketetapan adalah terpakai untuk semua. Bukan diubah-ubah ikut sesuka hati. 
 
Memang hukum ada kaedah diubah berdasarkan kepada keperluan semasa, tetapi bukan untuk kepentingan individu. 
 
Satu cara menentukan hukum yang diterima dalam Islam ialah kaedah al-Masalih al-Mursalah. Istilah al-masalih al-mursalah didefinisikan oleh para ulama sebagai kepentingan yang tiada keterangan nas secara langsung sama ada memperakui atau menolaknya.  
 
Jamhur ulama berpendapat mengutamakan kepentingan rakyat satu hujah boleh diterima sebagai dalil hukum apabila ia berkaitan mendatangkan kebaikan kerana kebaikan sentiasa menjadi tujuan utama syarak. 
 
Selain itu, pendapat itu juga berdasarkan kepada kepentingan hidup manusia sentiasa berubah yang memerlukan kepada keperluan semasa yang tidak terdapat sebelumnya. Contohnya hukum berurusan dalam talian yang menjadi fenomina pada hari ini sedangkan perkara itu tidak wujud sebelum ini. 
 
Tetapi, kalau tukar hukum ikut sesuka hati yang berubah-ubah dalam tempoh masa singkat bersilih ganti, itu dinamakan mempergunakan agama. Itu penunggang agama. Sifat orang munafik yang tidak bersungguh-sungguh mematuhi hukum agama. 

No comments:

Post a Comment