Wednesday 24 May 2023

HUBUNGAN UMNO DAP UNTUK KEKALKAN KERAJAAN PERPADUAN

  
Banyak pihak, termasuk di kalangan ahli UMNO mempersoalkan hubungan UMNO dan DAP yang dianggap membelakangkan kepentingan Melayu dan Islam. Sebaliknya, kerjasama itu dilihat hanya untuk menyelamatkan individu tertentu sahaja.

Pemimpin UMNO telah berulang kali menegaskan bahawa bentuk hubungan UMNO dan DAP adalah atas dasar untuk membentuk kerajaan Pusat setelah tidak ada parti atau gabungan parti layak untuk membentuk kerajaan. Keadaan itu menyebabkan pembentukan kerajaan tergantung sehingga Agong memberi titah agar dibentuk Kerajaan Perpaduan seperti yang terbentuk sekarang ini.
 
UMNO BN masih kekal sebagai satu blok gabungan parti. UMNO tidak membentuk gabungan parti dengan PH. Gabungan UMNO PH DAP sekadar untuk membentuk dan mengekalkan Kerajaan Perpaduan.
 
Soal usaha bersama UMNO dan PH untuk menyertai PRN di enam negeri, ia juga bukan dalam bentuk parti gabungan. Ia lebih kepada satu kerjasama tidak bertanding sesama sendiri di kalangan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat, serta saling membantu.
 
Kerjasama UMNO DAP secara konsepnya akan terhenti apabila tamat penggal Kerajaan Perpaduan apabila ia dibubarkan dan seterusnya diadakan PRU-16. Jadi, tidak timbul soal pembahagian kerusi antara UMNO DAP atau mana-mana parti yang tidak berada di dalam BN.
 
Tentang kemungkinan UMNO meneruskan kerjasama dengan PH DAP semasa PRU-16, perkara itu belum dibincangkan lagi.
 
Justeru, apa yang perlu diberi perhatian di kalangan pemimpin dan ahli UMNO ialah terus memperkasakan UMNO sehingga mencapai kedudukan terbaik untuk menghadapi PRU-16 agar tidak perlu bergabung dengan mana-mana parti, selain apa yang telah sedia ada di dalam BN.
 
Atau, sekiranya UMNO perlu terus melakukan kerjasama dengan PH, jika UMNO ketika itu berada pada kedudukan yang lebih kuat, terutama selepas PRN di enam negeri, tentu sekali tawaran jumlah kerusi untuk UMNO pada PRU-16 lebih banyak.
 
Secara tuntas, apa yang perlu dilakukan di kalangan pemimpin dan ahli UMNO ialah berusaha memperkasakan parti dan bukan secara berterus-terusan mempersoalkan mengapa perlu berkerjasama dengan DAP.

No comments:

Post a Comment