Sunday 3 September 2023

BERCAKAP BERHEMAH ELAK PERPECAHAN

 
Sikap segelintir ahli politik yang kurang tertib dalam berkata-kata sehingga sewenangnya mengeluarkan 'fatwa haram' kepada pihak tertentu adalah tidak wajar. Tindakan sedemikian berisiko untuk mencetuskan permusuhan.
 
Pemimpin politik sepatutnya bercakap mengenai perkara dan usaha untuk membangunkan negara, bukan tuduh-menuduh antara satu sama lain yang akhirnya hanya mengundang sengketa.
 
Bercakaplah hal politik. Politik adalah usaha untuk membangunkan negara. Ahli politik yang berwibawa akan mengetengahkan isu dalam kempen (mengenai) apa yang mahu dibuat dan tidak menggunakan kempen untuk menjatuhkan satu sama lain.
 
Kalaupun difikirkan perbuatan tuduh menuduh itu seolah-olah satu “keperluan” dalam politik, jangan diseret kepada hal yang menyentuh hukum.
 
Janganlah menyebut 'haram' mengundi mana-mana calon sekalipun. Sesuatu yang diharamkan bermakna sesiapa yang melakukan perbuatan itu adalah berdosa. Manakala jika diungkapkan perkataan “wajib”, sesiapa yang tidak melakukan pula dianggap berdosa.
 
Soal halal dan haram jangan dipermainkan. Jika dianggap satu keperluan untuk menentukan halal dan haram tentang sesuatu, biarlah pihak berkuasa agama melalui muzakarah menentukan.
 
Orang politik bercakap dengan penuh “muslihat”. Janganlah urusan agama juga hendak dipolitikkan sehingga mencetus perbalahan. Islam amat menegah perbuatan yang boleh menyebabkan persengketaan yang akhirnya merugikan semua pihak yang terlibat. Menang jadi arang, kalah jadi abu.
 
Penyokong parti dan pemimpin tertentu juga diingatkan tidak bertindak di luar kawalan dengan memainkan serta memperbesar isu tertentu, yang akhirnya hanya mengundang perbalahan sesama sendiri.
 
Sepatutnya kelebihan yang ada pada masing-masing itu kita bangunkan, bukan kita menghujani peluru untuk menghancurkan sesuatu pihak. Jadi kita takut, kalau kita tak berhati-hati, kita akan hilang segalanya.
 
Dalam sejarah umat Islam, kejatuhan mereka berpunca daripada perselisihan dan perpecahan sesama sendiri.
 
Sudah jelas, sepanjang sejarah umat Islam perselisihan dan perpecahan akhirnya mengakibatkan atau menjadi faktor penyebab kepada kemunduran dan ketinggalan umat Islam itu sendiri.
 
Perkara ini kita harus prihatin, jangan merumitkan keadaan atau pertembungan yang berlaku dalam kelompok umat ini, lebih-lebih lagi dengan memperbesarkan isu yang tak patut dibesarkan.
 
Gambar sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment