Tuesday 28 November 2023

CARA MEMBUAT COKLAT NISE KELANTAN

 
Di Kelantan gula-gula dipanggil coklat. Sesuatu yang manis dan berbentuk seperti gula-gula akan dikenali sebagai coklat. Satu jenama coklat terkenal di Kelantan ialah coklat nise.
 
Coklat nise dianggap sebagai manisan tradisional. Kalau ditanya mereka yang berumur 70 tahun ke atas, mereka akan memberi tahu telah atau penah makan coklat nise sejak usia kanak-kanak. Ini bermakna coklat nise telah sudah “wujud” di Kelantan sejak lebih 50 tahun lalu. Mungkin coklat nise telah wujud lebih lama dari itu.
 
Untuk membuat coklat nise tidak sukar. Resipinya mudah dan tidak memerlukan peralatan khusus. Kalau ada kuali atau periuk sudah boleh hasilkan coklat nise.
 
Bahan asas yang perlu disediakan adalah nise atau gula melaka. Sebab itu ia dikenali coklat nise kerana diperbuat daripada nise. Bahan lain ialah tepung gandum dan santan.
 
Cara hendak membuat coklat nise ini amat mudah. Pertamanya, nise perlu dicairkan di dalam kuali atau periuk. Masukkan gandum dan santan. Kacau manisan itu sehingga agak pekat. Untuk rasa lebih manis, campurkan dengan gula.
 
Masukkan kacang tanah goreng yang telah ditumbuk kasar. Boleh juga dicampur dengan jenis kekacang lain mengikut cita rasa masing-masing. Biji gajus ditumbuk pun elok juga.
 
Terus kacau dengan keadaan api yang sederhana sehingga sebati. Kemudian, coklat nise yang telah likat dimasukkan ke dalam dulang atau bekas yang telah disapukan majerin untuk mengelak ia melekat,
 
Apabila sejuk dan keadaan masih belum mengeras, ambil sedikit dan digentel atau terbentuk seperti coklat. Biasanya dalam bentuk selindar. Kalau digentel panjang boleh dipotong mengikut ukuran yng dikehendaki.
 
Kemudian ambil coklat nise itu untuk dibungkus atau dibalut dengan kertas warna warni. Guna kertas putih biasa pun boleh. Untuk mengelak coklat nise melekat pada pembungkus, boleh digulingkan atau disapukan dengan tepung beras pulut.
 
Siap. Boleh dihidangkan atau dimasukkan ke dalam bekas kedap udara untuk mengelak ia mencair, terutama yang tidak dimasak sehingga betul-betul likat. Ia perlu disimpan di dalam bekas kedap udara juga bertujuan untuk mengelak dikerumuni semut.

No comments:

Post a Comment