Sunday, 26 June 2016

Cedera main mercun

Setiap datang Ramadan dan berlanjutan sehingga Syawal, pasti ada saja kes kecederaan akibat mercun. Biasanya bahagian tangan dan jari hancur paling banyak berlaku. Ada juga kes hingga menyebabkan buta mata.

Berdasarkan kepada bahaya mercun, Islam menegah bermain mercun. Perbuatan bermain mercun satu dosa.  Begitu juga sesiapa terlibat membuat, mengedar, menjual dan membeli mercun juga haram.  

Maqasid syariah menetapkan perlu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Apa mendatangkan keburukan kepada perkara itu, maka perlu dijauhkan.

Syariat diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia adalah untuk dipraktikkan. Tanggung jawab untuk mempraktikkannya ini dipanggil taklif. Taklif menurut al-Syatibi hendaklah mampu dipikul oleh manusia, malah para ulama telah berijmak tiada taklif di luar kemampuan manusia. 

Maka itu, dalam soal mercun, kita tidak ada masalah untuk tidak terlibat dengannya. Kita perlu menjauhkan daripada mercun kerana bukan satu keperluan atau perkara wujud semulajadi di sisi kita. Sebaliknya, mercun datang kepada kita dengan usaha kita sendiri.

Maka, kalau ada kes mercun, itu tindakan dilakukan individu tertentu. Mereka membelinya biarpun terpaksa sorok-sorok dan tersembunyi. Mereka tahu perbuatan itu salah dan berdosa.

Secara dasarnya, membakar mercun adalah perbuatan berkaitan dengan usaha untuk mewajudkan kemeriahan dan kegembiraan. Hukum am mengenai perbuatan itu adalah harus kerana tidak ada tegahan secara mutlak mengenai perbuatan tersebut. Sebenarnya, amalan bermain mercun ini bukan saja berlaku di Malaysia, bahkan hampir seluruh negara Islam lain, termasuk di negara-negara Arab.

Bagi penganut agama lain, mercun dibakar untuk halau hantu, syaitan, iblis dan segala bentuk makhluk halus. Jika orang Islam buat untuk tujuan itu, perbuatan itu dikira syirik kerana mempercayai kuasa lain selain Allah.  

Bagaimanapun, penganut agama lain kini semakin menjauhi amalan menghalau hantu dengan mercun. Mereka tidak lagi percaya kepada perkara karut itu. Jadi, kalau penganut agama lain tidak lagi membakar mercun, mengapa pula umat Islam masih melakukan perbuatan yang sia-sia itu.

Ulama yang berpendapat bahawa haram menjual, membeli, membakar atau bermain mercun berdasarkan kepada kaedah asas penentuan sesuatu hukum berdasarkan kaedah fiqh. 

Perkara pertama yang dijadikan asas ialah kesan bahaya bermain mercun. Kita sedar bahawa banyak berlaku kes kecederaan, kematian dan kerugian harta benda akibat mercun. Ada yang putus tangan, buta mata, hilang harta benda dan macam-macam bala lain. 

Dengan kata lain, mercun memberi kesan buruk yang amat ketara. Keadaan ini tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak. Tiap-tiap tahun perkara ini berlaku apabila tiba musim raya. Kanak-kanak dan remaja paling banyak jadi mangsa.

Al-Quran juga telah mengisbatkan prinsip utama Islam diturunkan iaitu untuk menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Jika diteliti kesemua hukum Islam beredar di bawah naungan lima prinsip utama ini. 

Sesungguhnya Islam mencela perbuatan yang boleh mendatangkan keburukan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Islam memberi panduan yang jelas tentang memilih cara hidup. Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya agama itu mudah”. Dalam hadis ini, dengan jelas menunjukkan antara maqasid atau objektif syariat, iaitu memudahkan umat, tidak membebankan dan senang untuk diamalkan.

Peraturan larangan bermain mercun bukan membebankan. Bukan pun dilakukan sesuatu. Sebaliknya yang perlu dilakukan ialah menjauhkan, membanci dan katakan tidak kepada mercun. Tidak ada unsur rugi tidak terlibat mercun, bahkan itu menguntungkan.

Kita perlu mencari yang mudah dan tidak membahayakan. Rasulullah SAW jika diberikan peluang untuk memilih antara dua perkara, maka baginda tidak akan memilih kecuali yang paling mudah selagimana ianya tidak berdosa..”

Ianya membawa objektif bahawa Islam amat mementingkan kemudahan kepada umatnya. Maka itu, jangan pula kemudahan yang diberikan disalahgunakan hingga mengambil mudah soal bahaya mercum.   

Memang tidak ayat al-Quran dan hadis secara langsung menyebut mengenai pengharaman mercun. Isu mercun tidak timbul masa zaman Rasulullah SAW. Jadi, hukum berkaitan mercun lahir dari ijtihad ulama.

Ibn al-Qayyim menegaskan bahawa syariah itu berasaskan kepada hikmah-hikmah dan maslahah-maslahah untuk manusia sama ada di dunia atau di akhirat. Perubahan hukum yang berlaku berdasarkan perubahan zaman dan tempat adalah untuk menjamin syariah dapat mendatangkan kemaslahatan kepada manusia.

Sementara iru, Al-Izz bin Abdul Salam juga berpendapat sedemikian apabila beliau mengatakan syariat itu semuanya maslahah, samada menolak kejahatan atau menarik kebaikan.

Selain bahaya, bermain mercun juga memberi kesan kepada kewangan. Membakar mercun sebenarnya membakar wang. Membazir amat ditegah dalam Islam. Setiap wang dimiliki perlu dibelanjakan kepada kebaikan sama ada untuk diri sendiri, keluarga atau disedekahkan kepada orang memerlukan bantuan. 

Membelanjakan wang bukan pada tempatnya satu perbuatan boros yang didorong oleh syaitan. Sesungguhnya syaitan menggalakkan sikap boros, tetapi menghalang daripada melakukan sedekah dan membelanjakan wang untuk jalan Allah SWT.

Peringatan itu seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhan. (Surah al-Isra, ayat 27).

Satu lagi perbuatan berkaitan mercun ialah mengganggu orang ramai. Bunyi mercun mengganggu ketenteraman awam. Paling tidak beradab ialah mereka bermain mercun berhampiran masjid, madrasah dan surau tempat orang menunaikan sembahyang.

Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 memperuntukkan undang-undang sesiapa yang bersalah mengilang, memiliki atau mengimport mercun atau bunga api, boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Mereka yang menyimpan mercun juga boleh didakwa di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan atau memiliki barangan larangan. Jika sabit kesalahan, pihak yang terlibat boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan itu atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Undang-undang yang berkaitan adalah sebahagaian keperluan maqasid yang mana ianya berkisar tentang menjaga kemaslahatan manusia di dunia dan di akhirat. Kita tidak perlu mempertikaikan mengapa kerajaan mewujudkan undang-undang itu. 

No comments:

Post a Comment