Thursday, 27 April 2023

HORMATI AIDILFIRTRI, ELAK PERBUATAN DOSA

 
Kedatangan Aidilfitri dinanti-nantikan umat Islam. Allah SWT menganugerahkan Aidilfitri untuk menunaikan fitrah manusia ingin merayakan sesuatu kejayaa. Aidilfitri bukti kejayaan bermujahadah melaksanakan ibadat puasa selama sebulan dan mengawal hawa nafsu.
 
Aidilfitri menjadi ganjaran di dunia bagi mereka yang berpuasa, sedangkan akhirat masih menanti balasan pahala yang tidak ternilai.     
 
Sambutan Aidilfitri juga dikira sebagai satu ibadat jika dilakukan dalam rangka mematuhi perintah Allah SWT. Dengan kata lain, orang yang berpuasa mendapat dua 'bonus' iaitu merasai kegembiraan merayakan Aidilfitri sedangkan pada masa yang sama pula setiap apa yang dilakukan akan mendapat balasan kebaikan yang setimpal.   
 
Namun untuk dikira sebagai ibadat, maka hendaklah setiap amalan yang berkaitan dengan Aidilfitri itu dilakukan dengan niat kerana Allah SWT. Sudah semestilah apa yang dilakukan itu pula menepati apa yang ditetapkan oleh agama dan bermatlamatkan mencari kebaikan.
 
Islam menganjurkan agar diadakan persiapan menyambut Aidilfitri agar nampak kemeriahannya berbanding hari biasa. Kemeriahan sambutan menjadi lambang keagungan syiar Islam yang menyediakan ruang untuk umatnya merayakan hari kebesaran. Ini dapat menolak dakwaan mengatakan agama Islam hanya mementingkan kepada ibadat khusus sahaja.  
 
Firman Allah SWT bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dianugerahkan untuk hamba-hamba-Nya, dan (demikian juga) benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan. Katakanlah semua itu (nikmat-nikmat) untuk orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan di dunia, (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang yang beriman saja) pada hari kiamat, demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang yang mahu mengerti." (Surah al-Araf, ayat 32)
 
Di sebalik untuk bergembira, Aidilfitri bertujuan mendisiplinkan diri, mensyukuri rahmat, menghampirkan diri kepada Allah, muhasabah diri, serta melaksanakan perintah yang berkaitan dengan sesuatu tarikh. 
 
Bagi memastikan kegembiraan itu tidak terganggu, maka pada 1 Syawal diharamkan berpuasa. Pada hari kegembiraan tidak harus ada sekatan makanan dan minum. Sesiapa menahan dirinya daripada menikmati hidangan pada Aidilfitri, samalah dia menolak anugerah Allah SWT. 
 
Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik bagaimana memeriahkan Aidilfitri. Pada pagi Aidilfitri, baginda memakai pakaian yang tercantik dan terbaik yang dimiliki, selain mengenakan wangi-wangian. Imam Ibnu Qayyim menyebut bahawa Rasulullah SAW memiliki pakaian khas untuk dipakai pada Aidilfitri dan Aidiladha. 
 
Pakaian cantik tidak semestinya berharga mahal dan berjenama terkenal. Maksud cantik amat subjektif. Apa yang penting ia sesuai untuk menyatakan perasaan gembira dan bersyukur dengan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT.  
 
Pakaian cantik berdasarkan kemampuan individu. Jangan kita terikut-ikut dengan kemampuan orang lain. Pakaian cantik memadai disediakan sekadar sehelai atau dua helai sahaja untuk dipakai pada Aidilfitri (1 Syawal), bukannya sepanjang bulan Syawal.
 
Bagi wanita, pastikan pakaian tidak mendedahkan aurat. Kaum wanita perlu mempertahankan amalan murni yang dilakukan pada bulan Ramadan yang mana mereka berpakaian menutup aurat. Sesungguhnya, mendedahkan aurat mencemarkan kemuliaan Aidilfitri.   
 
Satu lagi sunah Rasulullah SAW pada pagi Aidilfitri ialah menjamah sedikit makanan sebelum keluar untuk solat Aidilfitri. Makan sedikit bertujuan membezakan hari tidak berpuasa. Hadis riwayat Bukhari bermaksud: "Adalah Nabi tidak beredar pergi menunaikan sunat Hari Raya pada pagi Aidilfitri hinggalah baginda makan beberapa biji tamar." 
 
Pada 1 Syawal diharamkan berpuasa. Ulama bersepakat dalam menyatakan haramnya itu sama ada puasa wajib (nazar atau untuk menunaikan kafarah), apatah lagi untuk berpuasa sunat.
 
Larangan berpuasa pada Aidilfitri disebut secara jelas Rasulullah SAW melalui riwayat daripada Abu Said al-Khudri yang menyatakan baginda menegah daripada berpuasa pada dua hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.
 
Hidangan hari raya memang sedap-sedap belaka. Namun, ditegah makan terlalu banyak kerana ia bertentangan dengan matlamat berpuasa untuk melatih diri tidak gelojoh ketika makan. Aidilfitri bukannya pesta makan. Makanlah ala kadar di setiap rumah yang dikunjungi. 
 
Perkara yang perlu diutamakan ialah ziarah dan bermaaf-maafan. Inilah peluang mengeratkan kembali tali persaudaraan yang mungkin telah lama terputus. Perantau berpeluang bertemu sanak saudara dan rakan-rakan yang lama ditinggalkan. Perantau juga dapat bertemu rakan perantau lain yang turut pulang ke kampung.   
 
Sesungguhnya bagi yang berkemampuan, hulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.  Amalan itu dapat menceriakan sambutan dan merasakan diri tidak terpinggir. Aidilfitri wajar disambut gembira semua lapisan masyarakat. Jadilah umat Islam yang bersaudara dan saling bantu membantu untuk kegembiraan dan kejayaan bersama.
 
Ketika menyambut Aidilfitri, jangan pula menjadi hiba kerana tragedi kemalangan jalan raya. Statistik menunjukkan kadar kemalangan maut pada musim perayaan meningkat sehingga sekali ganda berbanding hari-hari biasa. Justeru, berhati-hatilah ketika memandu, kerana kita semua mampu mengubahnya.    

No comments:

Post a Comment