Negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan,
Terengganu dan Pahang mempunyai ciri atau cara hidup berbeza pada pandangan
orang luar yang pernah membuat pemerhatian pada masa dahulu. Biarpun ia tidak
memberi gambaran tepat, tetapi ada perkara yang wajar dijadikan pengajaran.
Antara pandangan orang luar tentang
penduduk di Pantai Timur adalah Hugh Clifford (“The Pople of the East-Coast”
dalam buku, In Court and Kampung). Clifford yang pernah menjadi Residen di Pahang,
menceritakan tentang negeri-negeri Pantai Timur.
Walaupun negeri-negeri ini berdekatan
tetapi rakyat negeri-negeri ini jauh berbeza, sama ada dari segi rupa, pakaian,
dialek, watak mahupun adat resam.
Orang Pahang, mengikut Clifford, hanya
menggunakan fikiran dan minda mereka untuk mencari jalan berkelahi, bergaduh,
berasmara dan bercumbu dan berjudi, yang mereka tahu dan sedar dilarang sama
sekali oleh agama Islam.
Orang Pahang, jelasnya, adalah seorang
penyabung ayam dan pejudi yang sering terlibat dalam pergaduhan. Dia mempunyai
perasaan bangga dirinya, bangsanya dan negaranya.
Namun demikian, orang Pahang juga banyak
kualiti yang baik. Mereka jantan dan berani mati. Kelemahan mereka adalah di
permukaan sahaja dan mereka jarang mahu menyurukkan kelemahan ini.
Mereka sombong! Mereka berpakaian segak dan
sebagai kaki judi sering boros. Mereka juga suka bertindak mengikut nafsu tanpa
berfikir panjang tentang hasil atau kesan tindakan mereka.
Mereka juga amat taat dan setia kepada
Raja. Begitu juga taat setia mereka kepada seseorang atau sesiapa yang dipercayainya,
tidak berbelah bagi.
Hubungan ini adalah berasaskan saling
mempercayai di antara satu sama lain. Mereka sentiasa bergembira dan suka
melawak dan berjenaka dan bahan ketawa mereka adalah orang lain (suka mengusik
dan mempermainkan orang lain).
Mereka tidak suka membaca atau bekerja.
Mereka juga tidak boleh dipaksa membaca Koran. Mereka juga hanya akan
sembahyang setelah dipaksa. Mereka menghadiri sembahyang Jumaat kerana takut
kena denda.
Kalau boleh orang Melayu tidak mahu bekerja
dan tidak akan melakukan sebarang kerja walapun dibayar gaji atau upah yang
tinggi dan lumayan. Dia akan melakukannya (kerja) apabila dia dikerah, iaitu
atas permintaan dan suruhan orang-orang besar ataupun Raja. Kerja-kerja kerah
tidak dibayar upah dan di dalam kebanyakan kes mereka terpaksa membawa makanan
sendiri.
Kerja Raja dikelek sedangkan kerja sendiri
diabaikan. Mereka akan mengerjakan kerja-kerja kerah ini tanpa sebarang
rungutan seolah-olah itu adalah tugas hakiki mereka.
Clifford melihat ini sebagai satu sifat
yang bertentangan dengan jiwa orang Melayu itu. Dari satu segi, secara
sukarelanya, orang Melayu malas bekerja walaupun ganjaran yang dibayar lumayan
tetapi dari satu segi yang lain dia sanggup pula dipaksa bekerja dan
menyerahkan tenaganya secara percuma.
Orang Terengganu pula jauh berbeza daripada
orang Pahang. Paling utama, mereka sukakan keamanan dan keharmonian. Kegiatan
dan minat mereka ialah kepada perniagaan dan perdagangan.
Apa yang mereka mahu ialah kebenaran dan
kebebasan untuk mencari rezeki tanpa diganggu. Namun demikian, mereka tidak
menunjukkan sikap taksub dan taat setia membabi buta seperti yang ditunjukkan
oleh orang Pahang, yang akhirnya (iaitu orang Pahang) terpaksa menanggung
bermacam kerenah, helah dan juga bencana dari Raja dan kerabat Diraja mereka
sendiri.
Bagi Clifford, orang Terengganu hanya
berminat untuk belajar, berdagang dan bertukang. Sejak kecil lagi dia
dibesarkan dalam suasana buku, duit dan tawar menawar perniagaan dan
perdagangan.
Dikatakan dia tahu memuji dan mengangkat
tinggi nilai dan mutu barang-barang yang hendak dijualnya dan menawar atau
menurunkan harga barangan yang hendak dibelinya sebaik sahaja dia pandai
bercakap.
Orang Terengganu dilahirkan dalam dunia
perniagaan dan perdagangan. Dia boleh dan sanggup berbohong semasa berniaga, tanpa
segan dan silu ataupun malu sehingga mereka terkenal ataupun dikenali sebagai
pembohong yang paling terkenal di Tanah Melayu.
Sekiranya seorang kanak-kanak Pahang
dibesarkan dalam suasana perang atau khabar angin tentang peperangan, dan dia
pula akan bercita-cita apabila besar nanti mahu menjadi seorang pahlawan
terbilang, tetapi berlainan pula dengan kanak-kanak Terengganu.
Walaupun lelaki Terengganu memakai senjata
tetapi dia kurang tangkas menggunakan senjata tersebut. Keris yang dipakai
hanya sebagai pelengkap pakaian lelaki sahaja.
Keadaan ini berlaku kerana masyarakat
Terengganu memberi sanjungan yang lebih dan memandang tinggi mereka yang
berpendidikan atau yang mempunyai kemahiran-kemahiran yang tertentu. Jelasnya
orang Terengganu memuliakan mereka yang berpelajaran dan berilmu sama ada yang
menguntungkan mereka di dunia mahupun akhirat.
Bagi Clifford, orang lelaki Terengganu
dibesarkan sebagai pengecut tetapi mereka tidak mahu mengakui hakikat ini.
Pandangan Clifford ini mungkin tidak adil kerana mencintai keamanan dan tidak
suka bergaduh bukanlah sifat orang yang pengecut. Sebaliknya ia menggambarkan
seseorang yang ingin tinggal di dalam sebuah masyarakat yang madani.
Walau bagaimanapun prestasi dan imej orang
Melayu Terengganu adalah lebih baik dari orang Melayu lain, bukan sahaja di
Pantai Timur tetapi juga di Semenanjung Tanah Melayu. Umumnya, seseorang anak
Terengganu itu telah tamat membaca Quran sebelum akil baligh lagi.
Pada masa yang sama mereka juga tahu
menulis dan membaca jawi. Jadi masyarakat Terengganu adalah masyarakat yang
mementingkan ilmu.
Namun demikian, orang Terengganu lebih
terkenal kerana kemahiran mereka dalam bidang kraf tangan. Hasil tangan seperti
barangan tembaga, senjata dan juga pertukangan kayu mereka adalah yang terbaik,
tercantik dan terhalus di kalangan orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu.
Begitu juga dengan hasil tenunan kain dan songket mereka.
Mereka juga dikatakan pandai membuat
barang-barang tiruan, contohnya, serban yang diekspot setiap tahun ke Mekah dan
dijual di sana sebagai barangan tempatan yang dihasilkan oleh Arab Saudi
sendiri.
Dari segi pakaian, pakaian orang Terengganu
jauh berbeza dari orang Pahang. Kita boleh kenal orang Terengganu sebelum dia
membuka mulutnya. Walau bagaimanapun Clifford tidak menjelaskan apakah yang
dimaksudkannya. Namun begitu, sekiranya kita hendak buat andaian mungkin
pakaian orang Terengganu itu lebih kemas sesuai dengan kerja mereka sebagai
peniaga dan pedagang.
Orang Kelantan juga mempunyai ciri-ciri
mereka tersendiri. Bagi mereka yang berjumpa dengan orang Kelantan buat kali
pertamanya mungkin tidak akan faham tentang tutur-katanya. Orang Kelantan juga
tidak faham bahasa orang lain kecuali dialeknya sendiri. Rupa atau paras orang
Kelantan serupa sahaja; tidak begitu bersih baik dari segi rupa mahupun
perangai.
Orang Kelantan kuat dan gagah. Mengikut
Clifford, ada orang Kelantan yang boleh memecahkan pintu dengan kepalanya.
Contohnya, seorang lelaki yang diberi
gelaran Awang Kepala Keras. Selain itu, dia juga boleh memikul beban yang
berat, mengayuh perahu untuk beberapa jam dan boleh melakukan kerja lebih dari
orang Melayu lain.
Tingkah laku orang Kelantan agak kasar dan
tidak sensitif seperti orang Melayu lain. Mereka kurang prihatin terhadap
perasaan orang lain. Orang Kelantan berani tetapi beraninya membabi buta tanpa
memikirkan akan bahaya yang mungkin dihadapi.
Bagi masyarakat lain di Pantai Timur (orang
Pahang dan Terengganu) watak baik orang Kelantan ditenggelami oleh reputasi
orang Kelantan sebagai pencuri, perompak atau penceluk. Semasa merompak mereka
dikatakan menggunakan senjata tajam yang dikenali sebagai parang jengok.
Perempuan Kelantan lebih menonjol dari
wanita-wanita lain di Tanah Melayu. Mereka sering kelihatan di pasar sama ada
meniaga atau membeli. Mereka senang bertutur mesra dengan semua orang dan tidak
menunjukkan sifat-sifat malu yang lazim ditunjukkan oleh perempuan Melayu yang
lain.
Ada kalanya kemesraan mereka khusus dengan
pelanggan lelaki bersifat kemanja-manjaan. Di Kelantan, lelaki dan perempuan,
lain cara berpakaian mereka jika dibandingkan dengan orang Melayu lain.
Orang lelaki Kelantan tidak memakai baju
atau seluar sebaliknya mereka lebih selesa memakai sarung. Kain sarung diikat
singkat hingga ke lutut dan apabila duduk lutut mereka terdedah.
Orang perempuan Kelantan pula suka
berkemban dan bahagian bahu dan dada sering terdedah. Cara berpakaian begini
membuat orang lain menganggap orang Kelantan tidak beradat dan beradab sopan.
Sebelum tahun 1888 orang Kelantan takut ke
Pahang kerana orang Pahang menganggap orang Kelantan itu hanya layak untuk
menajamkan mata kerisnya sahaja. Dalam perkataan lain orang Kelantan itu baik
dibunuh sahaja.
Seperti orang Melayu lain di Pantai Timur,
orang Kelantan juga suka berjudi sama ada berlaga ayam, kambing atau kerbau.
Pada keseluruhannya bagaimanakah agaknya
cara hidup orang Pantai Timur? Mengikut Clifford, di Kelantan, Terengganu dan
Pahang, cara hidup mereka hampir serupa. Di kawasan pedalaman rakyatnya lebih
lurus dan amanah, lebih rajin, mengalami perubahan yang sedikit dan hidup
mereka sehari-hari berkisar kepada saraan hidup semata-mata.
No comments:
Post a Comment