Sunday 2 July 2023

TRITI LAUT SULAWESI

 
Pemeteraian Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi antara Malaysia- Indonesia berkaitan Persempadanan Laut Wiayah bagi kedua-dua negara sudah mengambil kira pandangan dan nasihat pakar maritim negara.
 
Kementerian Luar Negeri (KLN) memaklumkan, rundingan bagi perbatasan laut itu sudah berlangsung selama 18 tahun membabitkan pelbagai aspek, termasuk dari segi perundangan, teknikal, ekonomi dan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia.
 
Terdapat persepsi dan dakwaan yang salah berkaitan kedua-dua triti itu walaupun perkara itu sudah dijelaskan di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
 
Pemeteraian triti berkenaan sudah mengambil kira nasihat dan pandangan pakar maritim negara, iaitu Pasukan Rundingan Pembatasan Sempadan Maritim Malaysia.
 
Pasukan ini diterajui KLN dengan dianggotai agensi teras iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta Pusat Hidrografi Nasional (PHN).
 
Pasukan Rundingan Pembatasan Sempadan Maritim Malaysia turut membabitkan agensi lain termasuk kerajaan negeri dalam merangka strategi dan pendekatan semasa proses rundingan.
 
KLN juga menjelaskan dokumen lima muka surat bertajuk 'Nota Memorandum Daripada Menteri Luar Negeri Penyelesaian Isu Sempadan Maritim Malaysia-Republik Indonesia bukan dokumen yang disediakan oleh kementerian itu atau mana-mana anggota Pasukan Rundingan Pembatasan Sempadan Maritim Malaysia.
 
Kementerian kesal dengan dakwaan oleh sesetengah pihak yang didasarkan pada dokumen itu walaupun ia jelas menyeleweng daripada fakta sebenar dan terkini berhubung proses rundingan Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi".
 
Persempadanan Laut Selat Melaka dan Perjanjian Persempadanan Sulawesi adalah dua daripada enam instrumen dua hala Malaysia-Indonesia yang dimeterai sempena lawatan kerja Presiden Indonesia, Joko Widodo ke negara ini 8 Jun lalu.
 
Dalam pada itu, KLN memaklumkan apabila triti berkenaan mula berkuat kuasa, ia akan memberikan kejelasan dari segi kedaulatan dan bidang kuasa yang membolehkan Malaysia dan Indonesia menjalankan aktiviti penguatkuasaan undang-undang di kawasan maritim masing-masing dengan lebih berkesan.
 
Ini termasuk aktiviti pencegahan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan barangan dan pemerdagangan manusia, aktiviti ekonomi dan pembangunan seperti perikanan dan eksplorasi serta eksploitasi sumber marin dalam zon laut wilayah dapat dilakukan dengan lebih teratur dan lebih terjamin.
 
Triti itu diharap akan terus meningkatkan keyakinan bagi kedua-dua negara untuk meneruskan rundingan pembatasan persempadanan maritim yang belum diselesaikan terutamanya di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan pelantar benua.
 
Perjanjian yang ditandatangani pada 8 Jun oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widowo meliputi kawasan yang telah dipersetujui bersama.
 
Triti Laut Sulawesi tidak melibatkan blok Ambalat yang kaya dengan sumber petrolium. Triti Laut Sulawesi juga tidak melibatkan persempadanan maritim di ZEE dan pelantar benua antara Malaysia dan Indonesia.
 
Garis sempadan yang ditetapkan di bawah sempadan separa laut wilayah Laut Sulawesi tidak melibatkan had Pelabuhan Tawau. Manakala isu persempadanan di Pulau Sebatik, Sabah masih belum dirunding.

No comments:

Post a Comment