Sunday, 2 July 2023

DEMI KUASA SANGGUP CIPTA FITNAH

  
Perangkap fitnah amat berbahaya. Banyak individu menanggung penderitaan dan kerugian akibat bencana fitnah. Masyarakat yang penuh dengan budaya fitnah berada di ambang kemusnahan.
 
Justeru, individu Muslim mesti menjauhkan diri daripada kancah hina fitnah. Jauhkan diri dari menjadi pencipta, penyebar dan orang mempercayai fitnah. Ketiga-tiga perbuatan itu saling berkait yang menjadi punca mengapa budaya fitnah merebak dalam masyarakat.
 
Fitnah tidak akan wujud jika tidak ada penciptanya. Pun begitu, fitnah tidak akan tersebar jika tidak ada individu yang menyebarnya. Dalam hal ini, pencipta dan penyebar mungkin boleh jadi orang yang sama.
 
Individu yang menpercayai fitnah juga memainkan peranan besar menyebabkan fitnah tersebar. Ini kerana mereka bukan setakat mempercayainya, tetapi juga menyebarkan kepada orang lain. Jika tidak ada orang mempercayai fitnah, ia tidak akan tersebar, biarpun ada yang mencipta fitnah.
 
Fitnah ialah tuduhan melalui cerita, khabar atau kisah yang diada-adakan atau agak-agak untuk mendatangkan keburukan terhadap seseorang, keluarga atau kumpulan. Perkataan fitnah berasal perkataan Arab bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan. 
 
Perbuatan fitnah dilakukan sama ada secara perkataan jelas, perli, perumpamaan atau sindiran. Asalkan perkataan yang diucapkan difahami atau membawa erti tertentu, ia termasuk dalam kategori fitnah.
 
Melakukan fitnah adalah salah satu penyakit hati yang lahir akibat hati kotor yang tertutup daripada sinar keimanan. Perbuatan itu dilakukan biarpun menyedari betapa buruk kesan perbuatan itu.
 
Semakin banyak fitnah disebar, hati menjadi kotor. Hati yang kotor akan mendorong melakukan perbuatan buruk lain seperti menipu, rasuah, mengumpat dan sebagainya. Sebab itu amat penting kita menjaga kebersihan hati.
 
Semakin banyak keburukan dilakukan, hati menjadi terus menjadi keras dan tertutup daripada sinar kebenaran. Untuk membersihkan hati dan meninggalkan perbuatan dusta, hendaklah memperbanyakkan taubat.
 
Amat malang sekali apabila fitnah banyak dicipta oleh mereka yang mendakwa memperjuangkan Islam. Dalam konteks sekarang, sesiapa yang merasakan dirinya difitnah oleh individu lain, maka dia boleh membawa kes ke mahkamah.
 
Namun begitu, banyak fitnah disebarkan tidak dibawa kepada mahkamah untuk proses pengadilan kerana memerlukan belanja besar untuk mendapatkan peguam. Selain itu, ia turut terkait dengan isu-isu lain yang menyebabkan orang difitnah tidak membawa kes fitnah itu ke mahkamah.
 
Mungkin disebabkan tidak semua kes fitnah akan dibawa ke mahkamah, dan ditambah pula biarpun ia nyata bersifat fitnah, ia boleh pasti akan disahkan oleh mahkamah sebagai fitnah kerana beberapa faktor berkaitan pembuktian dan pembelaan.
 
Pun begitu, jerat tidak lupakan pelanduk. Bahaya membuat fitnah yang diadili di mahkamah dunia sering mencari mangsanya. Banyak kes fitnah berjaya dibuktikan dan pencipta fitnah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mengikut lunas-lunas undang-undang.
 
Pemimpin atau penyokong Pas menjadi juara kalah saman fitnah. Mereka lupa pada dosa fitnah, biarpun mengaku alim dan arif tentang hukum agama.
 
Mari kita lihat senarai permohonan maaf dibuat pemimpin Pas selepas melakukan sesuatu dakwaan kepada musuh politik mereka.
 
Antaranya, permohonan maaf oleh Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria kepada Anwar Ibrahim kerana mendakwa perdana menteri itu membawa agenda songsang LGBT dan menyokong agenda komunis.
 
Pada 22 Jun 2023, Adun Kubu Gajah, Khalil Yahaya memohon maaf kerana mendakwa perdana menteri melantik ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai pengerusi Felda.
 
Kemudian, pada 25 Jun 2023, akhbar Harakah Daily pula memohon maaf kerana mendakwa bekas ahli DAP, Mohamed Razali Abd Rahman pernah menjadi penasihat khas Lim Guan Eng.
 
Sebagai pemimpin yang mendakwa sebuah parti Islam, pemimpinnya sepatutnya membawa akhlak yang baik dan bukannya membuat persepsi serta tanggapan tanpa bukti.
 
Individu yang mendakwa dirinya alim dalam bidang agama sepatutnya menjadi contoh dan teladan kepada bukan Islam. Kerja ulama menyeru orang supaya beriman, jauh dari mungkar, buat kebaikan. Tunjukkan contoh kepada bangsa lain dengan akhlak yang baik supaya Islam dipuji dan dihormati.
 
Demi generasi masa depan, hentikan politik fitnah. Ia budaya politik kotor dan keji. Fokus kepada usaha membina Malaysia yang lebih baik.
 
Fikirkan dosa yang berbaris panjang seperti deretan kereta semasa musim perayaan yang bakal membawa ke neraka.

No comments:

Post a Comment