Wednesday 5 June 2024

SEKOLAH MODEL KHAS KOMPREHENSIF ELAK KECICIRAN PELAJAR

 
Memberi peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia merupakan salah satu dasar Kementerian Pendidikan Malaysia. Ini bermakna setiap warganegara berhak mendapat pendidikan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, budaya, kaum, etnik, status ekonomi dan merentasi sempadan geografi samada bandar, pinggir bandar dan pedalaman.

Dalam melaksanakan dasar berkenaan, Kementerian Pendidikan Malaysia berdepan dengan pelbagai isu dan cabaran terutama bagi sekolah murid Orang Asli dan murid sekolah di pedalaman.

Isu utama bagi sekolah-sekolah berkenaan ialah kadar keciciran murid ke sekolah menengah rendah yang tinggi. Jarak antara sekolah rendah dan sekolah menengah yang jauh, bentuk muka bumi serta kekurangan kenderaan pengangkutan menjadi faktor penyumbang kepada isu di atas.
 
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia, telah mewujudkan satu Program Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9). Sekolah K9 bermaksud, murid mula bersekolah rendah pada tahun satu hingga tahun enam, kemudian menyambung persekolahan sekolah menengah rendah dalam tingkatan satu hingga tingkatan tiga, di sekolah yang sama dalam tempoh sembilan tahun. Perkara yang sama dilakukan bagi K11 di mana murid-murid menghabiskan sekolah rendah dan menengah hingga Tingkatan 5 di sekolah yang sama.

Sekolah K9 pertama telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada 08 September 2007 di Sekolah Kebangsaan Bandar 2, Paloh Hinai, Pekan, Pahang. Sekolah ini terbuka kepada murid Orang Asli dan kawasan sekitarnya. Pengoperasian sekolah ini bermula pada tahun 2008 dengan pengambilan murid tingkatan satu.

Konsep sekolah ini telah diperluaskan kepada masyarakat Kaum Penan, di Sekolah Kebangsaan Long Bedian, daerah Baram, Sarawak, bermula dengan pengambilan murid tingkatan satu pada tahun 2012.
 
Dengan pelaksanaan sekolah K9 dan K11 ini tidak timbul lagi isu ibu bapa tidak dapat menghantar anak ke sekolah menengah atas faktor jarak yang jauh dan memerlukan tambang atau perbelanjaan yang tinggi.
 
Ini adalah usaha kerajaan bagi memastikan semua anak-anak tidak kira di bandar atau pedalaman mendapat pendidikan yang sewajarnya.
 
Kredit pemilik gambar

No comments:

Post a Comment