Thursday, 27 July 2023

UMNO PEJUANG ISLAM PALING BERJAYA

Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO menetapkan asas dan tujuan penubuhannya sebagai parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Islam dengan menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai agama Persekutuan.
 
Sejarah perjuangan politik UMNO sebelum kemerdekaan menyaksikan kejayaan mendaulatkan Islam sebagai ad-din dan cara hidup, bermula dengan kejayaan memaktubkan dalam peruntukan perlembagaan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, meskipun ditolak awalnya oleh Suruhanjaya Lord Reid yang menggubal draf awal perlembagaan.
 
Aqidah Islam ditegakkan UMNO yang menjadi kerajaan dengan penegasan bahawa ajaran Islam hendaklah berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dari segi aqidah, syariah dan akhlak, selari keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-8.
 
Sejak UMNO menerajui kerajaan selama lebih 60 tahun, pelbagai usaha diperkenal dan dilaksana parti itu dalam menegakkan ibadah dan pendidikan Islam.
 
Hingga kini, zakat ditegakkan menerusi undang-undang dan pembentukan institusi yang mengutip dan mengagih serta melaburkan harta zakat umat Islam.
 
Ibadah Haji umat Islam tersusun menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang ditubuhkan sejak 1969. Pengurusan hajinya diiktiraf kerajaan Aran Saudi, malah ia menjadi instrumen pemerkasaan tabung kewangan dan ekonomi umat yang terbesar dengan aset terkini melebihi RM78 bilion.
 
Aspek undang-undang kekeluargaan Islam pula dipelihara menerusi Mahkamah Syariah. Pada 1988, dibuat pindaan perlembagaan Perkara 121 bagi memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah setaraf Mahkamah Sivil.
 
Pendidikan Islam menjadi kurikulum asas dalam pendidikan negara bermula dengan Akta Pelajaran 1961, sementara falsafah pendidikan negara digubal bagi melahirkan insan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
 
Pendidikan Islam dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) berasaskan konsep Islam sebagai ad-Din diperkenalkan pada 1982/1983 diikuti dengan Kurikukum Baru Sekolah Menengah (KBSM) 1989/1990.
 
Terkini pendidikan Tahfiz al-Quran diarus perdanakan. Dasar Pendidikan Tahfiz Negara dilancarkan bertujuan menjadikan Tahfiz al-Quran sebagai hak asasi Pendidikan Islam dan mensasarkan kelahiran 250,000 huffaz profesional menjelang 2050.
 
Sekolah Menengah Agama (SMA) kendalian Persekutuan di negeri-negeri diperkenalkan pada 80-an. Pada 1990, Maktab Perguruan Islam diperkenalkan bagi melahirkan guru-guru agama untuk bertugas di sekolah-sekokah kerajaan.
 
Hasil semua usaha pendidikan ini menjadikan penganut Islam di Malaysia menjadikan agamanya sebagai Ad-Adin dan cara hidup mereka hari ini.
 
Ekonomi Islam juga dimartabatkan menerusi perbankan Islam yang memperkenalkan puluhan produk perbankan Islam seperti sekuriti korporat, bil penerimaan secara Islam dan kemudahan pembiayaan semula kredit eksport bermula 1983 apabila Bank Islam pertama ditubuhkan.
 
Pada 1993 skim perbankan tanpa faedah diperkenalkan sehingga hari ini dimana semua bank-bank mempunyai sistem perbankan Islam.
 
Malaysia mempelopori Pasaran Modal Islam (PMI) dunia bermula 1995. Produk seperti Ekuiti Islam, Amanah Unit Islam, sukuk dan ETF Islam (Dana Dagangan Bursa) diperkenalkan," katanya.
 
Pajak gadai Islam bagi menyelamatkan orang kampung diperkenalkan kerajaan UMNO bermula dengan cadangan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YAPEIM) kepada kabinet pada akhir 80-an.
 
Rentetan itu, pajak gadai Islam yang pertama sudah diwujudkan pada 23 Januari 1992 oleh Muassasah Gadaian Islam Terengganu di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) diikuti oleh Kelantan pada 12 Mac 1992 menerusi Perbadanan Kemajuan Ikhtisad Negeri Kelantan (PKINK).
 
Pada 1985, Syarikat Takaful Malaysia Berhad pula ditubuhkan bagi mempromosi sistem perlindungan insuran Islam dalam menghadapi bencana. Hari ini sistem takaful sudah berkembang pesat menyelamatkan umat Islam daripada insuran konvensional yang berasaskan riba.

No comments:

Post a Comment