Monday, 23 October 2023

BAIK SANGKA ERATKAN SILATURAHIM

 
Hubungan baik antara sesama manusia khususnya sesama mukmin haruslah dibina dengan penuh keinsafan dan rasa kasih sayang. Dengan itu akan terbentuklah suasana perpaduan dan persaudaraan. 

Hidup masyarakat dengan semangat perpaduan pasti sahaja senantiasa dirahmati oleh Allah. Hal ini bertepatan dengan ajaran Islam, iaitu setiap mukmin bersaudara tanpa mengira bangsa, budaya dan taraf sosial
 
Perkara ini ditugaskan Allah SWT seperti yang termaktub dalam Surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud: "Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara.  Oleh itu, damaikanlah (perbaiki hubungan) antara kedua-dua saudaramu it dan takutlah terhadap Allah supaya kamu mendapat rahmat."
 
Untuk memastikan hubungan baik antara sesama mukmin terjalin indah sifat positif perlu diterapkan ialah baik sangka (husnu al-zhon), manakala lawannya buruk sangka (suu al-zhon).
 
Jika kita selalu mengamalkan sikap baik sangka, maka jalinan persaudaraan dan perpaduan sesama mukmin akan menjadi lebih mantap dan baik. Sudah tentu kekeruhan hubungan dapat dielakkan. 
Di samping itu, tidak mungkin tercetus rasa penyesalan, iaitu jika buruk sangka bermakna telah mencampakkan pihak lain ke tempat buruk tanpa alasan yang benar, seperti yang dinyatakan dalam sepotong ayat yang bermaksud:
 
"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan sesuatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atau perbuatan itu." (Surah al-Hujurat, ayat 6)
 
Berikut adalah langkah yang perlu kita buat dan laksanakan agar diri kita termasuk dari golongan yang berbaik sangka.
 
Pertama, banyakkan berdoa kepada Allah. Ini kerana kita hanya insan sangat lemah dan kerdil serta tidak mampu melawan hasutan syaitan dan iblis melainkan petunjuk dan bantuan Allah SWT.
 
Kedua, kita meletakkan diri seperti orang lain. Jika kita mahu orang berbaik sangka dengan kita, kita perlu bersikap yang sama dengan orang dahulu.
 
Ketiga, ambil kata-kata orang dengan makna yang baik. Jika orang kata yang tidak baik kepada kita atau orang lain, pastikan kita sentiasa berbaik sangka agar tidak tertipu dengan helah syaitan. Ini kerana sebaik saja sangkaan buruk bertapak dalam hati, pelbagai dosa akan dilakukan.
 
Keempat, mencari ruang supaya kita boleh memaafkannya, iaitu dengan sentiasa berusaha mencari ruang berbaik sangka terhadap orang yang kita mahu bersangka buruk. Mungkin dia ditimpa musibah berat sehingga tergelincir dari kebenaran.
 
Kelima, jauhkan diri daripada menjatuh hukum atas niat seseorang, iaitu tidak menghukum orang sebaik saja menerima sesuatu maklumat kerana apa didengar tidak semestinya betul.
 
Justeru kita perlu memupuk sifat baik sangka dalam diri dan menterjemahkannya dalam realiti kehidupan.

No comments:

Post a Comment