Sunday, 19 January 2025

TELUNJUK LURUS KELENGKENG BERKAIT

 
Alkisahnya, di sebuah hutan belantara, tinggal sekumpulan haiwan. Ketika hujung tahun yang sememangnya kawasan tersebut kerap dilanda banjir, seluruh penghuninya dikejutkan dengan berita peletakan jawatan raja hutan.
 
Surat peletakan jawatan itu diserahkan kepada maharaja hutan. Maharaja hutan berusaha memujuk agar ditarik balik surat peletakkan, namun gagal. Bekas raja hutan berkeras mahu melepaskan jawatannya.
 
Maka, maharaja hutan menabalkan raja hutan baharu. Kawasan hutan itu perlu ada raja agar seluruh penghuninya terjaga.
 
Selepas ditabalkan sebagai raja hutan baharu, dibuatlah pelantikan jemaah menteri yang baharu agar negara hutan dapat ditadbir urus dengan baik.
 
Raja hutan kemudian bertitah mengarahkan wazir dan segala mamanda menteri agar dikerahkan segala penghuni hutan untuk bertemu dengan maharaja hutan yang akan berangkat turun menemui seluruh rakyat jelata.
 
Berhempas pulas wazir bersama-sama mamanda menteri membuat kerahan bagi memastikan kehadiran sebanyak mungkin penghuni hutan.
 
Ketika membuat kerahan itu, ada rakyat menyatakan bahawa dia telah terlebih dahulu dihubungi oleh mamanda menteri agar tidak hadir pada perjumpaan itu.
 
Memang pelik bunyinya. Ketika mamanda menteri lain membuat jemputan agar hadir, apa pula mamanda menteri bertindak sebaliknya.
 
Inilah dikatakan orang berhati busuk. Kalau tidak mahu melakukan kebaikan, jangan pula menyeru kepada keburukan.
 
Pada hari penghadapan, semua rakyat jelata berpakaian merah putih, kecuali seorang “pencacai” tua yang memakai baju berwarna biru. Maharaja dalam titahnya ada menyebut bahawa sikap itu tanda tidak berdisiplin.
 
Sebenarnya, cerita tentang pencacai tua itu tidak perlu dimasukkan dalam pengkisahan ini pun. Tetapi kerana kisah ini dikarang oleh pencacai tua, maka dimasukkan tentang perkara ini untuk dikenang sebagai sejarah oleh anak cucu.
 
Arkian, ketika maharaja, raja, wazir dan sekalian mamanda menteri berada di atas balai, terlihatlah akan wajah mamanda menteri yang dikisahkan menghubungi agar rakyat tidak hadir pada majlis tersebut.
 
Memang pelik. Dia “halang” penghuni hutan datang, tetapi dia sendiri datang dan berada di atas balai bersama-sama maharaja, raja dan mamanda menteri lain. Apakah tujuan sebenar mamanda menteri seorang ni?
 
Inilah sikap buruk yang jika tidak diubah boleh menyebabkan seluruh warga organisasi berpecah belah dan akan dijajah oleh kuasa lain. Sikap mementingkan diri.
 
Berhati-hatilah dengan mereka yang bersikap sedemikian yang menjadi “gunting dalam lipatan”, “api dalam sekam”, “terlunjuk lurus kelengking berkait” dan “tikam belakang” .
 
Gambar sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment