Thursday, 10 July 2025

DI KELANTAN TIADA PAWAGAM

 
Satu-satunya negeri di Malaysia tiada panggung wayang gambar (pawagam) adalah Kelantan. Bukan tidak pernah ada, tetapi telah dihentikan operasi sejak tahun 1996. Sekitar tahun 1980-an, di Kota Bharu ada empat buah pawagam terkenal ialah Lido, Odeon, Rani dan Rex. Kesemua pawagam ini telah ditamatkan operasi.
 
Pawagam di Kelantan lebih dikenali panggung. Maka nama pawagam di Kelantan dikenali Panggung Lido, Panggung Odeon, Panggung Rex, Panggung Meena dan Penggung Rani. Itu nama-nama panggung yang pernah menggamit kenangan peminat wayang di Kelantan. Di bandar lain di Kelantan pun ada juga penggung seperti di Selising (Pasir Puteh), Tumpat dan Pasir Mas.
 
Panggung wayang di Kelantan mula tidak mendapat sambutan setelah PAS memerintah Kelantan pada tahun 1990. Sebenarnya, tidak berlaku arahan untuk menutup operasi panggung-panggung itu, namun ia ditutup satu demi satu disebabkan tiada sambutan.
 
Antara punca kurang sambutan ialah disebabkan ‘tekanan’ berterusan pihak kerajaan dan penyokong parti yang menggambarkan menonton wayang gambar di panggung seperti satu dosa dan perkara yang perlu dijauhi.
 
Kerajaan Kelantan memperkenalkan Enakmen Kawalan Hiburan 1998 sebagai usaha mengekang gejala sosial. Biarpun pawagam masih dibenarkan beroperasi, namun perlu mengikuti syarat dan garis panduan ketat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) antaranya pengasingan tempat duduk mengikut jantina dan larangan tayangan pada waktu solat.
 
Sesiapa pergi menonton wayang di panggung akan dipandang serong. Ibu bapa akan cuba menghalang anak mereka, terutama gadis daripada pergi menonton wayang.
 
Keadaan ini sebenarnya berlaku disebabkan wujud amalan tidak sihat di dalam panggung wayang melibatkan pasangan kekasih. Mereka pergi bukan tengok wayang, tetapi buat wayang.
 
Biarpun perbuatan itu hanya dilakukan sebilangan kecil penonton, namun imej buruknya terpalit kepada semua orang sehingga sesiapa yang ingin menonton wayang dianggap ingin pergi buat maksiat.
 
Imej tersebut, sedikit sebanyak menyebabkan orang tidak berminat untuk pergi menonton wayang di panggung. Tambahan pula ketika itu semakin banyak sumber hiburan melalui televisyen dan pita video mula terdapat di rumah-rumah.  
 
Akibat tidak mendapat sambutan, satu demi satu panggung di Kelantan ditamatkan operasi. Tapak panggung digantikan dengan bangunan baru.
 
Antara bekas tapak panggung di Kota Bharu ialah Panggung Odeon kini menjadi tapak bangunan Perhubunan UMNO Negeri Kelantan, Panggung Rani (penah dijadikan tapak pasar raya, tetapi kini tempat urusniaga saham), Panggung Rex (Bangunan TNB) dan Panggung Lido kini menjadi tapak bangunan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.
 
Panggung Lido yang terletak di Jalan Pejabat Pos Lama merupakan panggung terakhir beroperasi di Kota Bharu sehingga sekitar tahun 1996, dan bangunan itu dirobohkan untuk membina bangunan baharu untuk tujuan lain.
 
Selepas itu ada panggung mini beroperasi di Bazar Buluh Kubu, namun tidak bertahan lama. Puncanya sama, iaitu tiada sambutan sehingga pengusaha menanggung kerugian.
 
Sekitar tahun 2016, heboh sebuah panggung wayang bakal dibina dan beroperasi di Kelantan, namun rancangan itu berkubur tanpa diteruskan. Ia mendapat bantahan daripada Pemuda Pas dan kelulusan tidak dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
 
Bagaimanapun isu pawagan muncul semula selepas filem Mat Kilau ‘pecah panggung’ apabila mendapat sambutan luar biasa daripada penonton. Ekoran itu ada pihak yang mahu kerajaan negeri membenarkan pawagan beroperasi semula di Kelantan.
 
Pada masa sekarang, penduduk Kelantan yang ingin menonton wayang perlu ke Terengganu. Mereka bukan sahaja ke Kuala Terengganu, bahkan sehingga ke Kemaman  untuk menonton filem, sekiranya tiket di Kuala Terengganu sudah habis.
 
Bahkan, yang berkemampuan akan menaiki kapal terbang pergi ke Lembah Klang untuk menontoh filem pilihan. Mereka turus pulang selepas hajat menonton tercapai.
 
Timbul persoalan, mengapa di Kelantan tiada pawagam, sedangkan di negeri lain diperintah PAS seperti di Terengganu, Kedah dan Perlis, operasi pawagam masih dibenarkan.

Panggung Lido

Panggung Rex

No comments:

Post a Comment