Wednesday, 25 June 2025

IKAN TEMOLEH ADA TUJUH GARISAN HITAM

 
Ikan temoleh atau temelian, sejenis ikan air tawar tempatan yang dikategori sebagai spesies ikan raksasa tempatan kerana panjangnya boleh mencapai  65 inci. Nama saintifiknya adalah Probarbus jullieni 
 
Taburan asli ikan temoleh di Malaysia ialah di Sungai Perak dan Sungai Pahang. Ada yang dilepaskan di beberapa tasik dan sungai di seluruh Malaysia. 

Ikan ini pada masa dahulu cukup terkenal di Sungai Perak. Ditangkap dan dijadikan hidangan istimewaan penduduk di sepanjang sungai yang diolahkan dalam pelbagai resepi, terutama di majlis perkahwinan.

Dari segi morfologi, P. jullieni boleh dikenal pasti berdasarkan ciri utama pada badannya iaitu mempunyai tujuh garisan hitam yang melintang pada badan. Ciri utama ini boleh dikatakan antara faktor utama spesies cyprinid ini dikenali sebagai seven-striped barb.
 
Mulut ikan temoleh menghadap dan menjulur ke bawah dan bersesuaian dengan sifat pemakanannya. Pada mulutnya terdapat sepasang sesungut seperti misai yang dipanggil maksila. 

Spesies ini merupakan omnivor dan mulutnya membantu ketika mencari makanan di dasar sungai seperti tumbuhan akuatik, serangga dan alga.
 
Bagi temoleh juvenil, badan dan sirip utama berwarna putih cerah selain tujuh garisan hitam melintang pada badannya.
 
Ketika membesar, warna putih pada badannya akan menjadi lebih kekuningan. Ikan ini mampu mencapai saiz sehingga 70 kilogram lantas tidak menghairankan jika spesies temoleh ini dikategorikan sebagai ikan trofi pancingan sungai.
 
Begitu pun, populasi ikan temoleh semakin berkurang dan semakin sukar diperoleh.
Dalam Union for the Conservation of Nature and Natural Resource (ICUN), ikan temoleh dikelaskan dalam senarai merah (Red List) sebagai spesies terancam.
 
Antara faktor utama populasi temoleh ini berkurang adalah disebabkan oleh aktiviti kemanusiaan. Contohnya, pembinaan empangan di sungai utama yang menjadi habitat ikan ini menyebabkan ikan temoleh tidak dapat naik ke hulu sungai untuk menghempaskan telurnya ketika musim mengawan.
 
Ikan temoleh menjadikan jangka masa sekitar November hingga Februari sebagai musim mengawan. Ketika ini, ikan temoleh induk akan berenang naik ke hulu sungai dan biasanya akan mencari kawasan berair cetek yang berpasir dan berbatu bagi menghempaskan telurnya.

Menghempas telur membawa maksud ikan temoleh betina merembes atau mengeluarkan telurnya.
 
Di Sungai Tembeling, masyarakat sekitar menamakan musim temoleh mengawan sebagai ‘musim temoleh berlaga’. 
 
Telur yang dilepaskan akan melekat pada batu atau pasir kerana sifatnya yang melekit sebelum induk temoleh jantan akan melepaskan spermanya ke atas telur ini.
 
Mengambil kira faktor persekitaran sekarang, peratusan anak temoleh untuk membesar agak rendah dengan pembiakan semula jadi ini langsung menyebabkan populasinya menurun mendadak.
 
Kredit pemilik gambar

No comments:

Post a Comment