Monday 20 September 2021

HIKING SANTAI BUKIT MARAK MENJEJAK PUTERI SAADONG

 
Aktiviti kembara berjalan kaki (hiking) semakin popular. Penggemar hiking akan sentiasa mencari lokasi baharu untuk hiking.

Salah satu lokasi hiking santai ialah Bukit Marak. Dikatakan hiking santai kerana agak mudah untuk dilakukan di kalangan mereka yang baharu mencuba untuk melakukan aktiviti tersebut.

Pun begitu, ia tetap dianggap sukar bagi mereka yang tidak tahan cabaran fizikal dan mental. Jadi, jangan pandang mudah perkara ini.

Bukit Marak agak terkenal di Kelantan kerana ia dikaitkan dengan sejarah Puteri Saadong. Jika melusuri sejarah Puteri Saadong, nama Bukit Marak tidak akan ketinggalan.  

Bukit Marak terletak dalam daerah Bekelam, Bachok iaitu 12.8 kilometer dari Kota Bharu ke arah timur dan 19.2 kilometer dari bandar Bachok. Ketinggian Bukit Marak adalah lebih kurang 114 meter. 

Hiking Bukit Marak tidak sukar kerana sudah ada laluan atau trek yang 'bersih' dan mampu dilalui dengan mudah termasuk di kalangan kanak-kanak. 

Untuk sampai di tempat permulaan hiking, pengunjung perlu melalui jalan menuju ke Bekelam (bagi pengguna Jalan Bukit Marak).

Dari cabang Jalan Bukit Marak, hanya kira-kira 500 meter, pengunjung akan bertemu dengan tali air. Masuk ikut laluan batas tali air itu sehinggi anda bertemu dengan kawasan perkuburan. 

Di hujung kawasan kubur itu terdapat kawasan lapang untuk diletakkan kenderaan. Ada papan tanda diletakkan di situ yang menandakan kawasan permulaan untuk pendakian atau hiking.

Seperti dinyatakan tadi, untuk mendaki Bukit Marak tidak sukar. Kalau mendaki pada hari cuti, anda akan dapat mendaki bersama-sama pendaki lain. 

Ada orang yang menjadikan aktiviti pendakian Bukit Marak sebagai aktiviti mingguan atau dilakukan secara berkala.

Tidak perlu diadakan persediaan fizikal atau peralatan khas. Ada yang mendaki Bukit Marak sekadar dengan berselipar dan berkain sarung. Malah tidak sukar untuk mendukung anak untuk turut naik ke atas Bukit Marak.

Bagi mereka yang mempunyai kekuatan fizikal dan mampu berjalan terus, masa untuk sampai di puncak hanya sekitar 15 minit. Namun, dengan berjalan santai, masa 30 minit diperlukan. Kalau yang mudah pancit atau berjalan 'setapak demi setapak', paling lama masa diambil ialah 45 minit.

Maksud puncak Bukit Marak ialah kawasan agak luas di atas yang layak dipanggil kompleks tinggalan sejarah. 

Di kawasan itu pengunjung akan menemui beberapa 'tempat' yang mempunyai sejarah atau identiti sendiri seperti Batu Gajah, Batu Pengasah, Batu Apal, Batu Kepala Ular, Batu Gendang, Batu Belah dan Tapak Kaki Awang Selamat.

Pengunjung perlu berpusing-pusing di kawasan itu untuk mengunjungi ke semua tempat itu yang berada merata. Tidak sukar untuk mencarinya kerana telah ada laluan yang mudah 'dikesan' untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

Setiap tempat ada papan tanda untuk kemudahan pengunjung mengetahui setiap objek itu dan kaitannya.

Pandangan dari puncaknya indah dengan perkampungan penduduk Melayu dan Siam serta dapat dilihat sehingga ke bandar Bachok dengan latar belakang Laut China Selatan.

Jom mendaki atau rukah Bukit Marak. Lakukan secara santai dan kekuatan fizikal yang sederhana. Anda pasti berasa puas dan ingin mendaki lagi sebagai tempat santai dan mencabar sedikit kekuat fizikal.   

Sejarah legenda Puteri Saadong

2 comments:

  1. Bagus bila ada masa lapang terisi dengan aktivity yang sehat. Aktivity seumpama ini harus dikembangkan dan dikongsi supaya kemeriahan dan keharmonian jalinan persahabatan dirasa dan dihayati.

    ReplyDelete