Sunday 28 January 2024

AURAT BAGI LELAKI KETIKA SOLAT

 
Perbezaan pendapat di antara mazahab memang berlaku dalam pelbagai hal. Justeru, tidak ada perlu “dibisingkan”. Kita hanya perlu mengetahui tentang perbezaan tersebut. Jadi, jangan menuduh atau mengatakan orang lain jahil hanya disebabkan mereka melakukan perkara yang berlainan dengan apa yang kita amalkan atau tahu. Hal berkaitan aurat lelaki juga ada perbezaan pendapat di antara mazahab.
 
Mazahab Maliki dan Ahmad berpendapat ketika solat diwajibkan menutup perkara berikut:
Aurat orang lelaki ketika bersembahyang ialah aurat berat (mughallazah) sahaja, iaitu kemaluan hadapan, zakar berserta buah zakar dan kemaluan belakang yang terletak antara kedua-dua papan punggung.
 
Oleh itu, diwajibkan mengulangi sembahyang dengan segera sekalipun terdedah kedua-dua papan punggung sahaja. Paha tidak dikira sebagai aurat pada pandangan mereka, hanya zakar dan buah zakar sahaja berdasarkan hadis riwayat Anas: “Bahawa di dalam Peperangan Khaibar, Rasulullah SAW telah terkoyak kain pada pahanya, sehingga aku ternampak keputihan pahanya.”
 
Mazahab Hanbali mengatakan aurat lelaki ialah kemaluannya sahaja (zakar dan duburnya)
Dalil berdasarkan kepada hadis Anas bahawa pada hari Khaibar, Nabi membuka pahanya (Hadis riwayat Bukhari)
 
Sesungguhnya, dalil al-Quran yang menyentuh tentang aurat lelaki secara khusus tidak ada.
 
Tahqiq al-Qardhawi memetik pendapat Ibn Qayyim tentang bagaimana kita mengkompromi dua hadis yang saling bertentangan, maka ialah dengan membahagikan aurat lelaki kepada aurat berat (kemaluan) dan aurat ringan (dua paha atau pusatnya).
 
Maka hukum yang jelas ialah haramnya membuka aurat yang berat yakni kemaluan dan dubur. Aurat pusat dan paha sebaiknya ditutup juga, tapi jika keadaan terdesak, maka dibolehkan. (al-Qardhawi, Fatawa Mu'asirat, Jld 5 & 6 Pustaka Salam)
 
Penduduk di Malaysia yang bermazahab Syafie amat teliti di dalam soal berpakaian ketika bersembahyang dan bab aurat. Apa yang difahami ialah aurat adalah antara pusat dan lutut itu aurat dan pusat dan lutut itu sendiri bukan aurat.
 
Penduduk di Malaysia, apa yang dilakukan ketika solat dalam soal berpakaian adalah yang terbaik dan lebih sopan. Bukan sahaja menutup antara lutut dan pusat, pakaian lelaki ketika bersembahyang hampir seluruh badan ditutupi dengan pakaian. Bahkan, di bahagian kepala ditutup dengan kopiah, songkok atau serban. Bahkan, ketika hadir bersembahyang di masjid, ada pakaian khas disediakan, seperti berjubah atau berbaju Melayu dan berkain pelekat.
 
Itu yang penduduk di Malaysia faham mengenai aurat dan adab-adab berpakaian ketika bersembahyang. Kita memang dituntut berpakaian yang terbaik ketika bersembahyang, maka lakukan dengan rasa ketakwaan kepada Allah SWT.
 
Hanya perlu diingatkan, jika ada individu yang berpakaian agak “ganjil” ketika bersembahyang, jangan dikutut atau dikeji serta dipersalahkan jika dia mengikut kefahaman atau amalan biasa mazahab lain.
 
Keterangan gambar - Pemain Lubnan bersolat ketika masa rehat masa pertama, kelayakan Asia di Thailand, Lubnan lawan Thailand, 5.3. (2014).

No comments:

Post a Comment