Friday 11 October 2024

BAHAYA SENGATAN TEBUAN

 
Tebuan merupakan sejenis serangga terbang yang mempunyai sengat berbisa. Tebuan tergolong dalam genus Vespa order Hymenoptera, keluarga Vespidae. Terdapat 22 spesies Vespa yang dikenalpasti seluruh dunia. Spesies utama terdapat di Malaysia ialah Vespa tropica tropica.
 
Sarang tebuan dibina di pokok, bahagian rumah, bangunan terbiar dan ada yang terletak di tanah. Sarang tebuan dibuat daripada cebisan-cebisan tumbuhan yang dilumatkan menjadi seperti kertas.
 
Tebuan menyengat apabila berasa dirinya terancam dan akan bertindak agrasif. Sengatan tebuan akan disertakan dengan racun yang akan masuk ke bahagian badan. Lazimnya gigitan tebuan boleh memberi tindak balas pada tubuh individu dalam tempoh 72 jam.
 
Justeru, mereka dinasihat mendapatkan rawatan segera di hospital atau klinik berhampiran untuk pemeriksaan lanjut. Dalam tempoh itu mangsa juga mungkin berhadapan risiko kematian jika tidak mendapat rawatan segera.
 
Sengatan tebuan menghasilkan racun, iaitu bersifat alkali dan bisa berkenaan boleh menyerang sistem pertahanan badan hingga berlaku kesan tindak balas pada tubuh mangsa atau dipanggil renjatan anafilaksis.
 
Kesan tindak balas renjatan anafilaksis menyebabkan tangan, kaki atau bahagian yang disengat membengkak boleh membawa kepada komplikasi kesihatan.
 
Anafilaksis dikategorikan sebagai renjatan kecemasan kesan reaksi alahan paling serius. Kesannya boleh berlaku dalam tempoh serta-merta hingga 72 jam dengan gejala sangat teruk dan pantas.
 
Tindak balas alahan ini berlaku di luar jangkaan, berbeza mengikut peringkat usia, sama ada kanak-kanak atau orang dewasa.
 
Mangsa sengatan akan mengalami tindak balas menyebabkan aliran darah yang sepatutnya mengalir terus ke jantung, diagihkan ke kawasan sengatan dan bahagian tubuh badan. Ini mengakibatkan kekurangan aliran darah ke jantung, seterusnya menyebabkan tekanan darah jatuh mendadak.
 
Situasi seterusnya, tekanan darah mangsa menjadi rendah, sesak nafas dan akhirnya membawa maut sekiranya lambat mendapat rawatan.
 
Rawatan kecemasan sebaik disengat
- Larikan diri atau bawa mangsa ke tempat selamat
- Jangan tekan kawasan sengatan, kebiasaannya tebuan meninggalkan sengat yang masih mengandungi racun.
- Elak bergerak banyak
- Jangan mencabut sengatan jika tidak tahu kaedah betul.
- Sapu cuka di tempat disengat.
- Tebuan bersifat alkali dan cuka mengurangkan kesakitan.
- Tindak balas anafilaksis lebih cepat pada kanak-kanak berbanding orang dewasa.
- Pesakit jantung, tekanan darah tinggi, alahan, lelah, ekzema dan resdung segera dapatkan rawatan mengelak tindak balas renjatan anafilaksis yang boleh membawa maut.
- Rawatan difasiliti kesihatan bergantung pada tahap alahan
- Boleh dapatkan suntikan adrenalin dan antihistamin.
- Suntikan adrenalin diulang setiap 3 hingga 5 minit jika tiada respons.
- Suntikan steroid untuk kawal keradangan sistem tubuh.
- Cairan intravena untuk pastikan jumlah cairan mencukupi untuk peredaran darah.
 
Antara simptom anafilaksis;
- Kulit gatal dan ruam gatal (gegata)
- Bibir, kerongkong dan lidah membengkak atau merah
- Sesak nafas, tercungap, batuk dan suara menjadi garau
- Sakit kepala atau pening
- Mual, muntah, sakit perut
- Hilang kesedaran

No comments:

Post a Comment