Saturday 31 August 2024

GUA MUSANG PESAT MEMBANGUN

 
Gua Musang salah satu jajahan (daerah) Jajahan lain ialah Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Jeli, Machang, Tumpat dan jajahan kecil Lojing.
 
Gua Musang terbahagi kepada tiga daerah iaitu Bertam, Galas dan Chiku. Terdapat 13 mukim di Gua Musang iaitu Jerek, Ketil, Pulai, Renok, Bertam Baru, Bertam, Batu Papan, Kuala Sungai, Kuala Betis, Limau Kasturi, Relai Utara dan Relai Selatan.
 
Keluasan jajahan Gua Musang adalah separuh daripada keluasan keseluruhan negeri Kelantan. Bandar utama di Gua Musang adalah Gua Musang. Pembangunan di bandar Gua Musang semakin pesat apabila tumbuh bandar atau pusat pembangunan baharu.
 
Pusat bandar asal Gua Musang dikenali Bandar Lama Gua Musang, berhampiran dengan Sungai Galas. Kemudian dibangunkan Bandar Baharu Gua Musang yang lebih luas untuk petempatan pelbagai pejabat agensi kerajaan, perumahan dan kemudahan lain. Kini, ada satu lagi bandar yang dikenali Bandar Utama Gua Musang.    
 
Gua Musang dikenali sejak tahun 1920. Nama itu diberikan oleh Orang Asli berikutan terdapat beberapa buah gua yang terbentuk di kawasan berbukit di sebelah timur stesen kereta api Gua Musang.

Salah sebuah gua di Gua Musang memiliki batu yang menyerupai seekor musang sedang menerkam ayam. Maka tempat itu dikenali dengan nama “Gua Musang”.
 
Cerita lisan lain pula menyebut nama Gua Musang diperolehi ekoran peristiwa Orang Asli berburu di kawasan bukit dan terserempak dengan ayam hutan yang dikejar musang.

Perburuan mereka tidak berhasil kerana sentiasa tertembung dengan musang yang mengejar ayam-ayam hutan, kemudian musang itu lari ke dalam gua berdekatan. Lalu tempat itu dipanggil “Gua Musang”.

Gua Musang rancak mengalami pembangunan infrastruktur dan limpahan ekonomi melalui projek yang dilakukan oleh agensi kerajaan Pusat seperti KESEDAR, FELCRA dan FELDA melalui aktiviti pertanian dan perladanan sesuai dengan kawasan yang luas.  
 
KESEDAR membangunkan berpuluh-puluh kawasan racangan kemajuan tanah (RKT) yang menjadi nadi pembangunan petempatan baharu. KESEDAR turut berperanan membangunkan kawasan kampung-kampung tradisi. Manakala FELDA dan FELCRA pula membangunkan kawasan petempatan dan kawasan ladang.
 
Kerajaan Kelantan tidak ketinggalan dalam merancang pembangunan di kawasan jajahan Gua Musang. Kerajaan Kelantan merancang teliti pelan pembangunan utama di Gua Musang sebagai bandar warisan merangkumi komponen bandar baharu iaitu Bandar Dato’ Bentara, Bandar Halaqah dan Bandar Perabot (Madinatul Athathi) serta Bandar Kota Sejahtera.

Bandar Dato’ Bentara sudah pun diluluskan melalui Rancangan Kawasan Khas (RKK) berasaskan peruntukan Subseksyen 16B (2), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

Bandar Dato’ Bentara di Kampung Panggung Lalat yang melibatkan kawasan milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu dijangka siap pada 2035 dan ditadbir urus di bawah pentadbiran Majlis Daerah Gua Musang (MDGM). 

Lokasi bandar baharu itu hanya 8 kilometer dari Bandar Gua Musang, 200 kilometer dari Bandar Kota Bharu, 75 kilometer dari Lojing dan 110 kilometer dari Cameron Highlands menjadikan ia sangat strategik berfungsi sebagai Bandar Agropelancongan.

Bandar Dato’ Bentara adalah kawasan pembangunan bandar baru yang terletak di Mukim Batu Papan, Daerah Galas, Gua Musang. Rancangan Kawasan Khas (RKK) bagi bandar ini disediakan kerana ia akan menjadi satu kawasan tarikan pelancongan yang baharu selain Lojing Highlands.
 
Projek ini melibatkan pembangunan di atas tanah yang berkeluasan 668.59 hektar merangkumi enam komponen iaitu perindustrian, perumahan, perniagaan, pertanian, pelancongan, institusi dan kemudahan awam.

Bandar baharu ini mempunyai daya tarikan alamiah dan tumpuan penduduk sekitar dan pelancong kerana berada di tengah-tengah laluan antara Kuala Betis-Gua Musang-Lojing.
 
Bandar Halaqat yang berkeluasan 1500 ekar dirancang pembangunannya di Bandar Chiku 3. Visi bandar tersebut ialah untuk mewujudkan bandar Islamik yang berteknologi pintar dan mampan. Manakala misi pembangunan bandar itu pula ialah untuk membina perbandaran inklusif iaitu Islamik yang syumul melalui pendekatan wasatiyyah dalam membentuk khalifah generasi baharu dan pembangunan lestari.
 
Bandar Halaqah akan mentransformasikan Chiku 3 sebagai bandar raya Islamik yang menjana 37,000 populasi dan memberi peluang pekerjaan dan perniagaan dengan penyediaan lot-lot komersial dan perindustrian.

Prasarana yang kondusif dan mesra alam disediakan di Bandar Halaqah merangkumi kemudahan utama seperti hospital, presint kerajaan, masjid, kompleks sukan, pusat kejiranan, taman bandar dan kawasan rekreasi. Seterusnya komponen perumahan menawarkan perumahan mampu milik dan pangsapuri. 

Dilengkapi dengan plot perniagaan, kompleks beli-belah dan kompleks bank. Terdapat juga perniagaan pelancongan seperti taman tema air, pusat komersial persisir air (waterfront commercial) dan pusat sukan lasak bermotor.

Tidak terkecuali aspek pendidikan, sebuah pusat latihan vokasional dan teknikal (tvet) juga dirancang pembinaannya. Di samping plot perindustrian iaitu kompleks IKS yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan penjualan produk industri kecil dan sederhana.



No comments:

Post a Comment