Sunday 15 September 2024

PAS AMAT SETIA DENGAN BERSATU

 
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada sidang media sempena Muktamar PAS Ke-70, 14 Sept 2024, yang berlangsung di Kerdau, Temerloh, mengakui partinya masih terbuka untuk menerima kerjasama dengan UMNO. 
 
Ahli Parlimen Marang itu turut mengesahkan mengenai usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) yang menggabungkan Pas serta UMNO sebelum ini. 
 
Pemimpin Pas seakan-akan menyesal ikut Bersatu yang menyebabkan tidak lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan. Jika tidak ikut Bersatu, Pas kini berada dalam kerajaan Perpaduan.
 
Mengimbau episod pasca-PRU15, ketika Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua parti sepakat mewujudkan permuafakatan dan menubuhkan kerajaan Perpaduan, Pas dan Bersatu menolak titah berkenaan. Pas menolak kerana ingin bersama Bersatu yang menyakinkan mereka akan dapat menubuhkan kerajaan.
 
Sebenarnya, sikap Pas punca kepada runtuhnya Muafakat Nasional (MN). Pas sayang sangat kepada Bersatu, tetapi masih mengaku ingin bersama UMNO, sedangkan UMNO dengan jelas menolak Bersatu yang merupakan parti serpihan UMNO.
 
Disebabkan ingin bersama Bersatu, Pas bertindak secara tidak jujur. Dalam dua kali mesyuarat Jawatankuasa Induk MN, UMNO bertanya sama ada benarkah Pas diam-diam menubuhkan penaja bagi mendaftar Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu, namun Pas secara terbuka menafikannya.
 
Perkara itu diminitkan dalam mesyuarat, malah Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menafikannya dalam media. Namun, Pas rupanya main kayu tiga secara senyap-senyap.
 
Pas menubuhkan jawatankuasa penaja dan akhirnya mendaftarkan PN sebagai parti.
 
MN terbentuk hasil piagam dimeterai UMNO dan Pas ketika Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019 selepas negara mengalami kemelut politik pada 2020 akibat peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh.
 
Sekutu kerjasama itu bertambah apabila Bersatu keluar daripada PH dan berpihak kepada MN sebelum gabungan parti politik baharu, PN didaftarkan secara rasmi.
 
UMNO kemudian menarik sokongan terhadap Bersatu sebagai rakan kerjasama dalam MN dan memaksa Pas mengikut langkah itu. Pada 13 Oktober 2022, Pas menyatakan pendirian kekal bersama PN menghadapi PRU15.
 
Zahid kemudian memberi kata dua kepada Pas supaya memutuskan hubungan dengan Bersatu dan PN jika parti itu ingin menjalin kerjasama dengan UMNO pada PRU15.
 
Pas lebih sayang kepada Bersatu dan menghadapi PRU15 atas dasar penyertaan dalam PN. Bahkan, apabila diberi peluang untuk bersama-sama dalam kerajaan Perpaduan, Pas lebih sayangkan kepada Bersatu.
 
Tetapi seperti biasa, Pas amat dinamik yang berubah mengikut kepentingan peribadi pemimpinnya. Akan mencari rakan kongsi politik yang boleh menguatkan kedudukannya. Apabila sudah bersama, Pas akan mencari rakan yang lain untuk mendapat peluang yang difikirkan lebih baik. Sebab itu, Pas ingin mendekati UMNO pula sekarang ini.
 
Begitulah Pas yang sikapnya “cap kapak ular lidi”.

No comments:

Post a Comment