Friday 18 October 2024

IBLIS BERSUMPAH INGIN SESATKAN MANUSIA

 
Dalam diri manusia terdapat akal dan nafsu yang mendorong melakukan kebaikan dan keburukan. Sebab itu, Allah SWT menjanjikan balasan pahala dan dosa bagi setiap perbuatan manusia. Pahala diberikan apabila manusia melakukan kebaikan dan apa yang disuruh. Sebaliknya, dosa dikira apabila melakukan perkara ditegah.
 
Setiap muslim melakukan kebaikan berdasarkan keimanan dan kepatuhan kepada perintah Allah SWT. Bagi bukan Islam, kebaikan dilakukan berdasarkan naluri kemanusiaan dan kebiasaan kebaikan yang dilakukan dan dilihat dalam masyarakat.
 
Manakala keburukan dilakukan akibat desakan nafsu. Mengikut Kamus Dewan, nafsu bermaksud keinginan yang keras, kehendak hati yang kuat, kemahuan yang kuat atau dorongan hati untuk melakukan sesuatu yang melampau atau kurang baik.
 
Keburukan juga merupakan angkara hasutan syaitan. Syaitan menjadikan manusia sebagai musuh sejak mula-mula manusia diciptakan oleh Allah SWT. Ia berpunca dendam dan iri hati terhadap manusia. 
 
Syaitan enggan patuh kepada perintah Allah ASW agar sujud kepada Adam (manusia). Syaitan membantah keputusan Allah SWT ingin menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi kerana merasakan dirinya lebih layak disebabkan diciptakan oleh Allah SWT daripada api, sedangkan manusia diciptakan daripada tanah lumpur.
 
Keengganan dan bantahan syaitan (iblis) diceritakan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Allah berfirman: Apakah yang menghalangmu untuk sujud kepada Adam di kala Aku menyuruhmu? Iblis menjawab: “Bukankah aku lebih mulia daripada dia (Adam). Aku diciptakan daripada api, sedangkan dia diciptakan daripada tanah.” - (Surah al-Araf, ayat 12).
 
Tindakan iblis itu menyebabkan ia dihalau keluar dari syurga dan mendapat kutukan Allah SWT sehingga hari kiamat. Iblis menerima hukuman tersebut, tetapi memohon kepada Allah SWT agar dipanjangkan usia sehingga ke hari kiamat dengan tujuan untuk menghasut manusia melakukan kejahatan dan perkara engkar perintah Allah SWT.
 
Permohonan iblis diluluskan dan bermula saat itulah iblis yang mengetuai angkatan syaitan menjadi musuh manusia yang berkekalan sehingga hari kiamat. Syaitan ingin ‘menarik’ manusia agar bersama-sama mereka menghuni neraka di akhirat kelak. 
 
Allah SWT memberi peringatan kepada manusia tentang niat syaitan itu. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu. Kerana itu hendaklah kamu memusuhinya. Syaitan hanya bermaksud mengajak golongan yang terpedaya agar sama-sama menjadi penghuni neraka.” - (Surah Fathir, ayat 6). 

Janganlah kita terpedaya dengan hasutan syaitan. Berpeganglah dengan al-Quran dan sunnah, pasti hidup tidak tersesat dan menjadi sebahagian sahabat syaitan. 

No comments:

Post a Comment