Saturday 3 August 2024

CABARAN PETUGAS PRK DUN NENGGIRI

 
Seawal pertengahan Julai 2024 sehingga 17 Ogos 2024, iaitu kira-kira sebulan, suasana di Gua Musang agak meriah, terutama di kawasan terlibat dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri. Selain DUN Nenggiri, dua lagi DUN dalam Parlimen Gua Musang ialah DUN Galas dan DUN Paloh.
 
PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kerusi N.43 Nenggiri kosong berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri terlucut keahlian Bersatu kerana menyokong Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
 
Pada 19 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh BERSATU pada 13 Jun.
 
Lanjutan itu, pada 28 Jun 2024, SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.
 
Selasai proses penamaan calon, dua calon diiystiharkan layak bertanding, yakni pertandingan satu lawan satu. UMNO-Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon, manakala BERSATU-Perikatan Nasional (PN) menamakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohd Rizwadi Ismail.
 
Pertandingan dijangka sengit kerana masing-masing mempunyai kelebihan. Mohd Azmawi, 38, yang juga Ketua Pemuda UMNO negeri Kelantan amat dikenali penduduk Nenggiri, manakala Mohd Rizwadi, 41, seorang aktivis masyarakat yang aktif dan juga Pengelola Dakwah Halaqat Gua Musang.
 
PRK juga menjadi 'durian runtuh' kepada penduduk Gua Musang apabila semua hotel di daerah berkenaan habis ditempah, Rumah sewa atau rumah tumpangan di bandar dan di kawasan kampung juga dikatakan habis ditempah jentera parti dari luar kawasan Gua Musang untuk membantu jentera parti masing-masing.
 
Ada juga pemilik rumah sanggup keluar sementara dan menyewakan rumah mereka kepada jentera parti disebabkan bayaran diterima sangat lumayan. Peniaga kedai makan juga tersenyum lebar apabila rata-rata kedai penuh dengan pengunjung sehingga lewat malam.
 
DUN Nenggiri mempunyai 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM), meliputi sembilan PDM di kampung tradisional, lima di bawah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), manakala satu PDM di kawasan FELDA.
 
Lima PDM Orang Asli adalah PDM Pos Tohoi, PDM Pos Simpor, PDM Sungai Puian, PDM Sungai Jenera dan PDM Wias membabitkan lebih 2,700 pengundi. Manakala PDM di kawasan FELDA ialah PDM Perasu.
 
PDM lain ialah PDM Meranto, PDM Jerek, PDM Bertam Lama, PDM Bertam Baru, PDM Kuala Sungai, PDM Limau Kasturi, PDM KESEDAR Limau Kasturi, PDM Serian, PDM Jeram Tekoh, PDM Sungai Asap, PDM Renok, PDM Ladang SEDC, PDM Star dan PDM Pasir Tumboh.
 
Jumlah keseluruha pengundi yang bakal menentukan sama ada BN atau PN menguasai DUN Neggiri adalah seramai 20,259 pengundi.  
 
Cabaran jentera kempen pasti terarah ke penempatan Orang Asli yang mengambil masa perjalanan antara dua hingga enam jam untuk dicapai menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4x4). Jika hari hujan dan keadaan jalan becak, masa perjalanan sehala ke Pos Gob dan Pos Simpor boleh mencecah sehingga 10 jam.




No comments:

Post a Comment