Saturday 8 October 2022

Tutup terus kerjasama dengan PAS

 
PAS masih berteka-teki sama ada akan menjalinkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) atau sebaliknya. Ini memandangkan PAS masih ingin meneruskan usaha penyatuan ummah, membabitkan ketiga-tiga parti teras Melayu, termasuk UMNO dan BERSATU.
 
Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini turut mendesak PAS menyatakan pendiriannya dalam masa terdekat berhubung ketetapan meminta parti terbabit memutuskan hubungan bersama PN dan BERSATU jika memilih BN sebagai rakan sekutu pada PRU15.
 
Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkali-kali menekankan semua parti utama Melayu Islam perlu terbabit bagi menjayakan agenda perpaduan ummah.
 
PAS mesra BN menerusi UMNO apabila terbentuknya Muafakat Nasional (MN). Namun, langkah PAS menjadi komponen dalam Perikatan Nasional (PN) bersama BERSATU serta GERAKAN tidak disenangi UMNO, mendorong kepemimpinan UMNO memberi kata dua kepada PAS untuk memilih di antara UMNO atau BERSATU.
 
Di kalangan akar umbi UMNO memang menerima kehadiran PAS untuk berkerjasama ketika PRU-15 nanti, namun dengan syarat seperti mana yang telah dinyatakan oleh kepimpinan UMNO iaitu PAS mesti memutuskan kerjasama dengan BERSATU terlebih dahulu.
 
Jika PAS tidak tegas dalam menyatakan rakan mana yang dipilih sama ada UMNO atau BERSATU, dalam masa terdekat, rata-rata akar umbi UMNO berharap pemimpin UMNO tidak lagi berunding atau membentuk sebarang bentuk hubungan berhubungan kerjasama menghadapi PRU-15.
 
“Masa terlalu suntuk untuk terus berunding (menjalin kerjasama) memandangkan PRU-15 semakin hampir. Pemimpin UMNO perlu tegas menyatakan tiada lagi perundingan dan menutup terus rancangan untuk bekerjasama dengan PAS semasa PRU-15 nanti”, kata seorang penyokong akar umbi UMNO dari Kota Bharu.

No comments:

Post a Comment