Perkembangan
teknologi maklumat dan komunikasi di Malaysia menjadikan rakyat Malaysia antara
pengguna media sosial tertinggi dibandingkan dengan nisbah jumlah penduduknya.
Semua
orang hatta kanak-kanak kini menjadi pengguna dan pembuat kandungan yang dimuat
naik dan dimuat turun dalam aplikasi media sosial.
Semua
ini hasil pembangunan negara dalam menjadikan rakyat negara ini celik teknologi
maklumat dan dapat mengakses maklumat secara mudah dan pantas.
Pada
masa sama, perkembangan teknologi maklumat dan media sosial ini jika tidak
digunakan secara baik boleh memberi kesan buruk terhadap sosiobudaya masyarakat
Malaysia yang terkenal dengan sopan santun serta budi bahasa yang tinggi.
Sejak
kebelakangan ini, kita sering menerima maklumat dan bentuk tulisan dan audio
visual yang diviralkan dalam media sosial mengandungi kata-kata kesat dan kotor
yang seolah-olah tidak melambangkan budaya luhur budi dan bahasa rakyat
Malaysia yang terkenal dengan sopan santunnya.
Kata-kata
kesat, makian dan cercaan ini menjadi ratib harian sebahagian masyarakat
Malaysia sehingga mempengaruhi generasi muda untuk merasakannya sebagai sesuatu
yang normal dalam kehidupan harian.
Apatah
lagi kata-kata kesat, kotor dan makian ini turut diucap dan dihamburkan mereka
yang berpengaruh seperti ahli politik, selebriti dan influencer media
sosial.
Ada
ketikanya, kata-kata kesat dan kotor ini secara khususnya ditujukan kepada
individu dan kumpulan tertentu dalam masyarakat.
Secara
umumnya, bahasa kesat, kotor dan makian tidak dapat diterima masyarakat
Malaysia yang dianggap luhur budi pekerti dan budi bahasa.
Amat
membimbangkan jika menghamburkan bahasa kesat ini bertebaran secara berleluasa
dan diterima sebagai satu norma baru dan budaya bagi masyarakat Malaysia dalam
media sosial.
Ia
secara tidak langsung memberikan imej tidak baik kepada rakyat Malaysia dalam
dunia tanpa sempadan seolah-olah rakyat Malaysia ini tidak beradab dan tidak
beretika.
Oleh
itu, sudah tentu mulai hari ini, kita perlu secara serius mendidik generasi
muda dan masyarakat dengan tatasusila dan etika berkomunikasi di media sosial.
Garis
panduan dan mungkin peraturan berkaitan penggunaan media sosial ini boleh
diperkemaskan dalam merujuk penggunaan bahasa kesat, kelucahan melampau,
memalukan fizikal, kata nista, carutan dan cacian yang menjatuhkan maruah
seseorang di hadapan masyarakat.
Lebih
utama kita mendidik generasi kita seawal dari rumah supaya terus mengamalkan
tatasusila budaya timur masyarakat Malaysia yang terkenal dengan budi bahasa
dan kesantunannya.
No comments:
Post a Comment