Makan colek, antara
aktiviti paling popular bagi masyarakat di Kelantan pada bulan Ramadan. Makan colek
umpama pesta. Sambutan luar biasa yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat. Makan
colek biasanya dimakan selepas umat Islam selesai menunaikan solat terawih.
Makan colek sering dijadikan program
untuk bersama ahli keluarga, sesama rakan, persatuan, NGO dan wadah untuk
pemimpin politik mendekati pengundi.
Malah
aktiviti makan colek itu turut menjadi pengerat silaturrahim antara rakan
sebaya kerana sering berkongsi wang atau bergilir-gilir membelanja kawan-kawan.
Aneka
colek, sama ada campuran buah-buahan, ayam, sotong, perut lembu, paru dan cucur
yang dicelup tepung serta digoreng garing dan dimakan dengan kuah pencicah
pedas atau manis menjadi daya penarik di kebanyakan kedai makan.
Terdapat
banyak restoran di Kelantan menyediakan hidangan colek ini pada sepanjang bulan
Ramadan. Disebabkan sambutan hangat, banyak restoran yang pada hari biasa menjual pelbagai jenis makanan harian, akan menukar menu hanya menjual colek pada bulan Ramadan.
Bahkan, ada restoran
yang tidak mendapat sambutan pada bulan biasa menjadi begitu terkenal pada
bulan Ramadan semata-mata kerana colek hingga tidak cukup ruang untuk memenuhi
permintaan pelanggan.
Begitu hebat sekali
sambutan colek di Kelantan yang menjadi satu budaya makan yang paling unik dan
dirindui perantau yang tinggal di luar Kelantan. Mereka akan cuba kembali ke
Kelantan lebih awal bagi memastikan tidak terlepas peluang menyerti 'pesta
colek'.
No comments:
Post a Comment