Wednesday, 29 January 2020

PERLU USAHA BESAR UNTUK MENCIPTA KEJAYAAN GEMILANG


Kejayaan seseorang dicipta bergantung bagaimana cara kita berfikir dan melakukan apa yang terbaik. Minda perlu dibuka untuk perkara baru dan bersedia melakukan perkara luar biasa untuk kejayaan luar biasa. Kita adalah apa yang kita fikirkan tentang diri kita. Amalkan sentiasa berkata boleh kepada kejayaan. 

Kata seorang pujangga: “Orang yang berminda kecil membicarakan mengenai orang lain; orang yang berminda sederhana membicarakan mengenai peristiwa dan kejadian; dan orang yang berminda besar membicarakan mengenai idea dan keilmuan.”

Orang yang berminda kecil sebenarnya kurang menggunakan minda. Dia lebih kerap melakukan perkara rutin dan menerima apa sahaja apa yang dikatakan orang lain. Mereka tidak mahu berfikir lebih daripada itu dengan alasan tidak mahu ‘penat’ berfikir. Biarlah orang lain fikirkan. Mereka lebih suka menjadi pak turut dan rela melepaskan peluang yang terhidang di hadapan mata.   

Sikap berminda kecil menjadi punca kepada kegagalan. Mereka tidak menggunakan potensi diri yang ada pada setiap orang. Mereka tidak memahami 'modal diri' yang dimiliki untuk meraih keuntungan hidup.

Usaha yang kecil tentunya hanya memberikan hasil yang juga kecil. Malah kebanyakan usaha kecil tidak membuahkan sebarang kejayaan kerana belum melepasi takad untuk menikmati kejayaan. Situasi itu amat merugikan kerana dengan tambahan sedikit usaha lagi akan menghasilkan kejayaan. Sebab itu kita tidak sepatutnya berhenti berusaha separuh jalan saja. 

Sesungguhnya, harga kehidupan tidak akan berubah lebih baik jika tidak mahu menggunakan minda. Keinginan melakukan sesuatu lebih baik tercetus sekiranya minda digunakan. Minda adalah kuasa atau enjin bagi badan kita. Jika enjin dihidupkan, sudah tentu pergerakan bahagian lain dapat dilakukan dengan baik.  

Sebab itu kita jangan persia-siakan kuasa minda. Jangan sampai kita disamakan dengan haiwan. Kelebihan manusia berbanding haiwan ialah kerana manusia mempunyai minda. Manusia yang tidak menggunakan minda layak disamakan dengan haiwan. Sebab itu ada perumpamaan menyebut 'bodoh macam lembu' sebagai bandingan seseorang yang hanya tahu melakukan kerja seperti disuruh oleh orang lain.  

Amat besar kerugian ditanggung oleh mereka yang mempersia-siakan anugerah minda yang paling berharga itu. Mereka yang tidak mahu berfikir tidak layak untuk menikmati kejayaan dan kebahagiaan hidup sebenar. 

Minda yang jumud dan beku mengurangkan fungsi minda. Hal itu samalah seperti kita menentukan had sempadan penggunaan minda. Sedangkan minda sebenarnya mampu berfikir tanpa had sempadan. Pergerakan berfikir berbentuk rawak yang tidak ada satu garisan khusus.

Kapasiti simpanan otak saraf manusia sebenarnya amat besar untuk berfikir dan menjana sesuatu yang baru dalam bentuk kemahiran dan ingatan. Kapasiti simpanan otak saraf menusia dianggarkan 125.5 trilion, iaitu lebih 10 kali ganda berbading keupayaan simpanan komputer Arked Negara Amerika sebanyak 12.5 trilion,  Ternyata betapa besar dan uniknya akal yang dianugerahkan hanya kepada manusia.

Kemampuan minda seseorang berbeza antara satu sama lain. Inilah memberi kelebihan apabila dilakukan percambahan minda melibatkan banyak individu. Gagasan minda yang digabungkan membawa kepada satu kekuatan minda yang terbaik.     

Krisis akal telah menjadi darah daging di kalangan masyarakat kita. Kita dikatakan Mat Jenin jika banyak berfikir dan merancang sesuatu yang memberi kesan kebaikan luar biasa. Malah, kita telah diingatkan agar tidak menduga lautan dalam jika kain hanya sejengkal. Begitu juga kita sentiasa disindir jika berusaha lebih dengan kata-kata, rezeki secupak tidak akan jadi segantang.   

No comments:

Post a Comment