Monday, 31 May 2021

LELAKI DIBOLEHKAN MEMAKAI CINCIN PERAK

Lelaki diharamkan menggunakan emas sebagai bahan perhiasan. Dalam satu hadis dijelaskan bahawa emas dan sutera hanya untuk wanita, namun diharamkan untuk lelaki.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Emas dan sutera dihalalkan bagi umatku yang wanita, namun haram bagi lelakinya” (Hadis riwayat Ahmad dan Nasai)

Rasulullah SAW pernah bertemu seorang lelaki yang memakai cincin emas di tangannya. Beliau mencabut cincin tersebut lalu melemparnya, kemudian bersabda: “Seseorang dari kalian telah sengaja mengambil bara api neraka dengan meletakkan di tangannya” (Hadis riwayat Muslim)

Lelaki boleh memilih bahan lain untuk dijadikan perhiasan. Contohnya bahan yang popular dijadikan perhiasan lelaki untuk dijadikan cincin ialah perak. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sendiri memakai cincin perak. 

Namun ditegah lelaki memakai perhiasan menyerupai perempuan biarpun bukan dari jenis emas. Umumnya perhiasan bagi lelaki hanyalah cincin.  Perhiasaan lain seperti subang, rantai leher, gelang tangan dan rantai kaki adalah dikhususkan sebagai perhiasan wanita. 

Atas maksud untuk mengelak menyerupai wanita, maka lelaki ditegah memakai perhiasan-perhiasan itu. Namun, sekarang ini terdapat logam tertentu yang dijadikan sebagai satu cara perubatan altenatif yang mana dibentuk sebagai gelang tangan atau rantai leher, maka untuk tujuan perubatan dan bukan untuk sebagai perhiasan, pemakaiannya adalah dibolehkan.

Mengenai logam lain seperti besi, tembaga dan seumpamanya, tidak ada nas yang mengharamkan pemakaiannya sama ada untuk lelaki maupun perempuan. Pun begitu, 'peraturan' bahawa perempuan tidak boleh menyerupai lelaki dan lelaki tidak boleh menyerupai perempuan perlu dipatuhi dalam syarat berhias.

No comments:

Post a Comment