Saturday 21 August 2021

Hebat langkah politik Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 Mac lalu, dengan keras menyatakan pendirian mereka untuk menghentikan sebarang kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR dan DAP.

Buat seketika, laungan itu gah sekali kedengaran namun selepas beberapa lama, ia mula reda malah barangkali ada yang sudah melupakan ikrar tersebut.

Ternyata pemimpin Utama UMNO itu menyusun langkah di dalam senyap dan percaturannya ternyata berjaya. Diam Zahid bagai ubi, terbenam di tanah mengumpul isi.

Siapa sangka, pengumuman mengejut mereka untuk menarik semula sokongan terhadap PPBM berhasil menyebabkan Tan Sri Mahaiddin Yasin hilang keabsahan sebagai Perdana Menteri.

Peletakan jawatan dua menteri kerajaan Persekutuan dan penyandang portfolio penting di beberapa agensi berkaitan kerajaan (GLC) menambah sengsara Perikanan Nasional (PN).

Kemas sekali percaturan itu kerana walaupun pada awalnya UMNO dilihat berpecah dua, dengan sebilangan kekal berdiri bersama Presiden manakala selebihnya memilih untuk berpihak kepada Mahaiddin, mereka akhirnya tetap bersatu di bawah bumbung yang sama.

Ia dibuktikan apabila parti berkenaan dan komponen Barisan Nasional (BN) sebulat suara mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Kesembilan, sedangkan jelas Ahli Parlimen Bera itu tergolong dalam kem Mahaiddin.

Kesilapan yang dilakukan Mahaiddin dan pasukannya adalah memandang rendah kemampuan Zahid. Walau pengalamannya mungkin tidak seluas Presiden PPBM itu, tapi jangan dilupa survival Zahid cukup tinggi.

Bagi sesetengah orang, UMNO sudah karam tiga tahun lalu. Apabila parti itu tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14, ramai menyangka nyawa UMNO sudah sampai ke tenggorok.

Telahan itu ternyata salah. UMNO masih bernyawa dan entah bagaimana, tampil lebih segar ketika ini.

Ketika beberapa pemimpinnya memegang status menteri dalam kerajaan PN, UMNO parti yang paling keras mengkritik kerajaan PN.

Kerasnya kritik UMNO sampai parti pembangkang pun tenggelam. PKR, DAP dan PAN hanya mampu baling kerikil dalam kolam PN tapi UMNO yang mengocaknya sehingga bah.

Tentu sekali yang memimpin UMNO sejak fasa pemulihannya selepas kalah sehingga menjadi parti yang paling ampuh suaranya kini ialah Zahid.

Zahid bukan politikus popular. Dia kurang keterampilan sebagai pemimpin negara. Kefasihannya berbahasa Inggeris pernah diperlekeh orang. Dia diejek atas warisan leluhurnya dari Ponorogo. Zahid juga punya banyak pertuduhan di mahkamah.

Namun di bawah Zahid, UMNO tampil garang menjadi pembangkang. Sudah jadi sebahagian daripada kerajaan pun UMNO masih membangkang.

Anda boleh ludah sebanyak mungkin ejekan kepada Presiden UMNO ini tetapi jika anda lazim berpolitik, anda tahu, dia bukan sebarangan musuh.

Zahid bercuti daripada tugas sebagai Presiden UMNO selama lebih enam bulan sejak Disember 2018 sehingga Jun 2019. Sepulangnya dia dari bercuti, ada perubahan dapat dilihat.

Media sosialnya mula diisi hantaran-hantaran menarik. Kadang-kadang dia cuba jadi nakal seperti Najib Razak. Ada ketika lain dia membentangkan idea ekonomi dan politik yang segar. Ada kekuatan yang dikumpul sepanjang tempoh cutinya.

Usai PAU 2020, Zahid tampil dengan idea yang segar, tentang patriotisme ekonomi. Dalam hantarannya, dia membandingkan idea ini dengan peristiwa ikonik sebelum keberangkatan Tunku Abdul Rahman ke England untuk menuntut kemerdekaan dan strategi pemulihan ekonomi Franklin Roosevelt.

Patriotisme ekonomi memang sangat diperlukan dalam krisis yang kita hadapi kini namun tiada pemimpin yang dapat mengungkapkannya setepat ini. Ini sudah cukup menjadi contoh bahawa Zahid Hamidi tidak boleh dipandang rendah sewenangnya.

Tidak perlu rakyat teramai faham intipati ideanya tetapi ia cukup untuk mendirikan karisma Zahid sebagai pemimpin.

Zahid Hamidi tidak perlukan syarahan strategi politik. Dia sudah telan banyak garam. Sejak era Ketua Pemuda UMNO sehingga menjadi Presiden petama UMNO berstatus pembangkang di Parlimen.

Apa yang Zahid perlu ialah karisma. Dalam zaman post-truth ini, anda perlu tampil dengan idea segar, hujahan ekonomi sosialistik dan retorik politik identiti untuk membentuk karisma politik.

Zahid sudah hampir melengkapkannya. Ada beberapa kekangan tetapi apabila arena politik kita tiba kepada pertarungan menjadi ‘yang paling kurang syaitan’ (lesser evil) nanti, Zahid tahu mahu berdiri di petak mana.

Sumber:

 

No comments:

Post a Comment