Sunday, 19 June 2022

EMPAT JENIS HUKUMAN TERHADAP PELAKU DOSA

 
Hukum dalam Islam bertujuan mencegah, mendidik dan menghalang agar perbuatan jenayah tidak dilakukan. Ia satu kaedah kawalan dan pengawasan agar jenayah tidak dijadikan budaya. 

Terdapat empat bentuk hukuman iaitu jenayah hudud, qias dan diat, kifarat dan takzir.

Jenayah hudud  
Terdapat tujuh jenis jenayah hudud iaitu zina, qazah, minum arak, mencuri, merompak, pemberontakan dan murtad. Hukum ini berdasarkan kepada nas syarak. Justeru, setiap hukuman bagi setiap kesalahan telah ditetap, contohnya mencuri hukumannya dipotong tangan dan murtad pula dihukum bunuh. Hukum ini telah tetap dan tidak boleh dipinda lagi oleh sesiapa pun. 

Dengan kata lain, hukuman yang dilaksanakan di negara kita yang hanya mengenakan denda kepada pesalah-pesalah hudud sebenarnya bukan berdasarkan kepada hukum hudud. 

Sebaliknya, hukuman itu berpindah kepada takzir yang pihak berkuasa menentukan bentuk hukumannya. Keadaan ini apabila pihak berkuasa merasai tidak mampu untuk bertindak adil atau wajud kelemahan dalam perlaksanaan jika kaedah hudud dilaksanakan. 

Perlu ditegaskan di sini maksud kelemahan bukan kelemahan atau keburukan hudud, tetapi kelemahan manusia yang tidak mampu melaksanakan secara adil. 

Jenayah qisas dan diat
Kaedah hukuman qisas ini ialah pesalah akan diperlakukan sama seperti yang dilakukan oleh kepada pihak lain. Contohnya, pesalah membunuh akan memenerima hukuman bunuh juga. 

Manakala diat juga hukuman untuk kesalahan membunuh, tetapi berlaku dengan tidak sengaja. Dalam keadaan ini, pesalah tidak dijatuhkan hukum bunuh juga, sebaliknya dikehendaki membayar ganti rugi kepada ahli keluarga mangsa dibunuh. Jumlah diat terbahagi dua iaitu ditentukan oleh syarak dan tidak ditetap oleh syarak. Wang atau harta untuk dibayar diat diambil dari harta pelakunya.

Hukuman berkaitan gisas dan diat dinyatakan dalam al-Quran. Firman Allah SWT dalam surah  al-Baqarah, ayat 178 bermaksud: "Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh) maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan si pembunuh pula hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya.”

Dengan kata lain, walaupun qisas melibatkan bunuh dihukum bunuh, waris boleh memilih sama ada memaafkan dan menerima diat. Bahkan, tidak salah jika waris memaafkan sepenuhnya tanpa meminta diat.

Hukuman kifarat  
Hukuman ini ialah bagi jenayah membunuh dengan sengaja dan dimaafkan keluarga pihak kena bunuh, bunuh tidak sengaja, meninggalkan ibadat fardu dan melakukan maksiat. Perkataan kifarat diambil dari perkataan kifarah yakni menutup. 

Kifarat dalam maksud hukuman ialah denda disebabkan meninggalkan ibadat fardu dan melakukan maksiat. Kifarat juga sebagai menebus kesalahan yang telah dilakukan.

Kifarat telah ditentukan jenis hukumannya, tetapi ia mempunyai banyak pilihan mengikut susunan keutamaannya. Ini bagi mestikan mereka yang dikenakan hukuman itu tetap dapat membayar kifarat itu biarpun tidak mampu pada denda tertentu. Contohnya dapat dilihat berkaitan hukuman kifarat kerana menziharkan isteri.

Firman Allah SWT bermaksud: Orang-orang yang menzihar isteri mereka, kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan, (wajib atasnya) memerdekakan seorang hamba sebelum kedua suami isteri itu bercampur. Demikianlah yang diajarkan kepada kamu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. Barangsiapa yang tidak memperoleh (hamba) (wajib atasnya) berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya bercampur. Sesiapa yang tidak mampu (wajib atasnya) memberi makan enam puluh orang miskin." (Surah al-Mujadilah, ayat 3-4).

Hukuman jenayah takzir.  
Dalam bahasa Arab, takzir bermaksud menghalang. Hukuman ini tertakluk kepada pertimbangan pemerintah bagi kesalahan yang tertentu. Ini bermakna takzir adalah hukuman ke atas penjenayah tidak berdasarkan kepada hukuman ditentukan syarak.

Takzir ditentukan berkaitan kesalahan maksiat, kepentingan awam dan kesalahan-kesalahan kecil. Hukuman itu ditentukan mengikut keperluan setempat atau bertujuan agar rakyat memelihara keamanan, mematuhi undang-undang dan menjauhi maksiat.   

Contohnya, untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya, maka kerajaan boleh menetapkan hukuman kepada sesiapa yang tidak mematuhinya.  

Undang-undang itu biarpun dibuat oleh manusia, dalam segi kaedah Islam, rakyat perlu mematuhinya. Mematuhi pemerintah adalah satu perkara yang diwajibkan ke atas setiap rakyat. Tambah lagi, undang-undang dan hukuman yang satu keperluan untuk memastikan kehidupan rakyat berjalan dengan aman dan baik.

Bentuk hukuman takzir seperti denda wang, sebatan, penjara, sekatan, melaksanakan sesuatu tugas dan sebagainya. 

Hukuman takzir termasuk kaedah memberi kemaafan, amaran dan nasihat. Ini dapat difahami melalui Firman Allah SWT bermaksud: "Dan wanita-wanita yang kamu bimbang nusyuznya, maka nasihatilah mereka." (Surah an-Nisa, ayat 34)  

No comments:

Post a Comment