Monday, 20 January 2025

UCAP TAKZIAH KEPADA KELUARGA SI MATI

 
Ucap takziah kepada keluarga si mati. Apabila berlakunya kematian, kita dianjurkan untuk mengucapkan takziah kepada keluarga si mati sebagai bentuk simpati terhadap pemergian tersebut.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidaklah seorang mukmin mengucapkan takziah kepada saudaranya yang ditimpa musibah, kecuali Allah SWT akan memakaikan untuknya pakaian kehormatan pada hari kiamat.” (Hdis riwayat Ibn Majah).

Abd al-Rauf al-Munawi berkata, hadis ini menunjukkan bahawa takziah adalah sunat yang dituntut, dan ia tidak hanya dikhususkan pada kematian semata-mata, bahkan ia meliputi segala bentuk musibah yang berlaku.

Beliau juga menukilkan dari fuqaha al-Syafi‘iyyah, bahawa waktu yang disunatkan untuk mengucapkan takziah kematian bermula dari sampainya berita kematian itu, sehingga 3 hari selepas pengebumian dan makruh mengucapkan takziah setelah dari itu, melainkan jika keluarga si mati tidak dijumpai sebelumnya. (Lihat Faidh al-Qadir, 5/495)

Syeikh Muhammad bin Abd al-Hadi al-Sindi pula menerangkan maksud takziah dalam hadis di atas, iaitu berpesan kepada keluarga si mati agar bersabar, seperti kita berkata kepadanya: “Semoga Allah memberikan ganjaran pahala yang besar kepadamu (atas kesabaran).” (Lihat Kifayah al-Hajah fi Syarh Sunan Ibn Majah, 1/486)

Gambar sekadar hiasan. 

No comments:

Post a Comment