Monday 5 June 2023

Perubahan lanskap politik Kelantan bakal beri kejutan pada PRN?

  
Tidak sampai sebulan lagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan akan terbubar secara automatik apabila tempoh penggalnya berakhir pada 26 Jun ini. Oleh itu, mengikut perlembagaan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan akan dilangsungkan dalam tempoh tidak kurang 60 hari dari tarikh tersebut, mungkin Julai ini.

Pendekatan PAS mudah dijangka. Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15), PAS kekal bertanding di 9 kerusi Parlimen ia menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) dan memberi 5 kerusi selebihnya kepada BERSATU. Syarat dikenakan ialah 5 calon BERSATU tersebut wajib bertanding dengan menggunakan logo PAS.
 
BERSATU menggunakan logo PAS adalah strategi. Ia untuk menampakkan bilangan kerusi PAS di Parlimen lebih banyak. PAS juga akan untung PAS jika berlaku perbalahan antaranya dan BERSATU.
 
Strategi lain ialah untuk mencerahkan peluang calon BERSATU menang kerana rakyat Kelantan hanya terpesona dengan logo PAS dan logo UMNO/BN.
 
Dalam PRU 14, PAS menang 37 kerusi DUN dan BN menang 8. Oleh itu, dalam PRN ini PAS dijangka akan memberikan 8 kerusi yang ia kalah dalam PRU 14 kepada BERSATU.
 
Begitupun, dalam PRU 15, semua 14 kerusi Parlimen di Kelantan disapu bersih oleh oleh PN. Ini menyebabkan pemimpin PAS, baik di Kelantan mahupun di Pusat, yakin PN akan menyapu bersih 45 kerusi DUN dalam PRN ini.
 
Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman, bagaimanapun menegaskan bahawa BN dan PH sedang mencari jalan bagi melawan kempen ‘sapu bersih’ PAS.
 
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam lawatan ke Kelantan pada 15 Mac pula merayu pengundi memberi peluang kepada BN dan PH dalam PRN untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu.
 
Satu perkara yang wajib diakui ialah dominasi PAS dan UMNO dalam politik Kelantan sejak sekain lama. Keputusan PRU 14 menunjukkan selain menang 8 kerusi DUN UMNO sentiasa mendapat undi kedua tertinggi di 37 kerusi DUN lain dengan melainkan di 2 kerusi, iaitu N8 Tanjong Mas dan N9 Kota Lama di P21 Kota Bharu, yang undi kedua tertingginya diperolehi oleh PH.
 
Perkembangan yang baik ialah bila pemimpin PH Kelantan dan Pusat dari AMANAH mengiktiraf dominasi UMNO ini, malah mencadangkan strategi betul seperti yang dibuat oleh PAS dalam PRU 15, iaitu supaya calon PH bertanding menggunakan logo BN yang lebih dikenali di negeri itu. Kesediaan pemimpin UMNO mempertimbangkan cadangan ini juga wajar dialukan.
 
Di pihak UMNO juga sudah ada cadangan agihan kerusi yang boleh diterima iaitu BN bertanding di 31 kerusi dan berjiwa besar melepaskan 14 kerusi kepada PH. 14 kerusi ini ialah N3 Pasir Pekan, N7 Panchor, N8 Tanjong Mas, N9 Kota Lama, N13 Meranti, N14 Chetok, N18 Pasir Tumboh, N19 Demit, N20 Tawang, N24 Kadok, N26 Bukit Panau, N30 Limbongan, N34 Temangan dan N39 Mengkebang.
 
Dengan kerjasama semakin baik antara BN dan PH di Kelantan, peluang untuk BN dan PH memberi saingan sengit malah membuat kejutan ke atas PAS terbuka. Ini kerana jika kerjasama antara BN dan PH dapat diterima baik oleh rakyat Kelantan, gabungan kedua-dua undi BN dan PH dalam PRU 14 adalah agak setanding dengan undi PAS, malah di N9 Kota Lama lebih tinggi berbanding undi PAS.
 
Sejak mutakhir ini, lanskap politik Kelantan juga telah semakin berubah yang mampu membuat rakyat Kelantan membuat pilihan berbeza kali ini. Terdapat tanda-tanda ketidakpuasan hati ke atas peminggiran legasi Tok Guru Nik Aziz oleh PAS setelah anaknya, Nik Abduh, tidak dikekalkan sebagai calon dalam PRU 14 lalu. Rakyat Kelantan dikatakan merindui sentuhan Tok Guru Nik Aziz setelah tiada perubahan positif dalam kehidupan mereka setelah pemergian beliau.
 
Kini, pertautan kembali Nik Abduh dan kakandanya, Nik Omar, bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini menimbulkan desas-desus bahawa ada usaha untuk menjadikan salah satu daripada Nik Abduh atau Nik Omar sebagai calon Menteri Besar bagi pihak BN dan PH jika menang dalam PRN ini. Jika desas-desus ini menjadi realiti pasti ini kelebihan besar untuk BN dan PH.
 
Kesediaan Anwar Ibrahim menawarkan kerjasama untuk membangunkan Kelantan dalam majlis beliau di negeri itu juga telah membuka minda rakyat Kelantan. Dalam masalah bekalan air, kesediaan Anwar menjemput pimpinan Kerajaan Kelantan berbincang di Putrajaya menampakkan kesungguhan beliau, tidak seperti pendekatan konfrontasi sebelum ini, sekali gus mampu menarik rakyat Kelantan lebih mendekati PH dan BN.
 
Selain itu, semakin banyak pendedahan bernada sensasi mengenai kelemahan tata kelola Kerajaan Kelantan dibuat dalam media sosial, antaranya oleh Facebooker bernama WAN MAHUSSIN WAN ZAIN dengan lebih 142 ribu pengikut. Isu-isu seperti nepotisme dalam pengambilan kakitangan kerajaan, kelemahan pengurusan air, kegagalan projek-projek pembangunan yang merugikan rakyat dan sebagainya cukup mendapat perhatian dan mampu mencetuskan gelombang.
 
Isu-isu ini berimpak besar kerana dalam PRN isu-isu yang diambil kira oleh rakyat ialah isu-isu bersifat tempatan bukan isu-isu nasional kerana PRN hanya untuk memilih kerajaan negeri dan keputusan PRN tiada impak ke atas kedudukan Kerajaan Pusat. Isu-isu tata kelola yang dikaitkan dengan kelemahan Menteri Besar sekarang dan kekuatan calon Menteri Besar BN dan PH boleh menjadi pengubah dalam PRN ini.
 
Selain strategi yang betul, meletakkan lebih ramai calon muda profesional yang tiada ‘baggage’ dan berpotensi besar, seperti Dr. Rosli Allani Kadir, Ir Mohd Normarzuki Yaacob dan Mohd Zuki Safin dari PH serta Noor Hariri MN dan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dari UMNO, juga boleh membuahkan hasil untuk BN dan PH dalam PRN ini.
 
Dr. Nik Mawardi Mohamed
Pensyarah Pusat Pengajian Jarak Jauh (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM).
 

1 comment:

  1. Harapan ramai rakyat kelantan akan ada perubahan selera pengundi untuk memilih kerajaan baharu yang dapat meninfkatkan taraf hidup mereka dengan idea dan wawasan yang lebih jitu dan memikat rakyat setempat. Bukan lagi retorik agama dan kaum yang nampak seperti tiada kesudahan dan tiada memberi manafaat sedikit pun kecuali kepada segelintir walaun sahaja.

    ReplyDelete