Kehidupan
manusia tidak sama nasib amalannya. Allah menilai hamba-Nya dalam pelbagai cara
yang hanya Dia sahaja mengetahuinya. Jadi, jangan kita mudah membuat penilaian
terhadap orang lain hanya berdasarkan pandangan mata kasar dan menggunakan akal
kita yang cetek.
Kita
diberi rezeki bangun berqiyamulail, maka bersyukurlah, tapi jangan dipandang
rendah orang yang tidur, kerana dia mungkin tidur dengan air mata taubat dan
penyesalan. Sepanjang tidurnya adalah pengampunan dan pahala yang berpanjangan.
Kita
diberi rezeki gagah berpuasa sunat, maka bersyukurlah dapat melaksanakan
tuntutan yang diajarkan Rasulullah SAW, tapi jangan pandang rendah insan yang
belum mampu istiqamah berpuasa sunat, siapa tahu pahala sedekah secara
sembunyinya diangkat ke langit lebih besar berat pahalanya berbanding puasa
yang kita sering lakukan itu.
Kita
diberi rezeki mampu khatam al-Quran sebulan sekali, maka bersyukurlah dan
tingkatkan lagi amalan itu, namun jangan diejek-ejek, disindir insan yang masih
merangkak-rangkak dengan muqaddamnya. Siapa tahu Allah lebih mencintainya yang
istiqamah belajar mengaji dengan segala kepayahannya membolehkan dia mendapat
dua pahala iaitu belajar al-Quran dan membacanya.
Kita
diberi rezeki dengan harta dunia dan mampu bersedekah jariah, maka bersyukurlah
kerana tidak cintakan dunia sehingga menghalang kita daripada mengimfakkan
harta ke jalan Allah, namun jangan dihina si miskin yang tidak mampu memberi
kerana kekurangannya. Mana tahu mulutnya tidak berhenti berzikir menjadi pahala
sedekahnya dan sikap reda dengan apa yang dialami itu menjadi tiket dia
memasuki syurga.
Kita
direzekikan lahir dari keluarga yang alim. Kecil-kecil sudah mantap
imannya, sudah sempurna menutup auratnya, sudah sempurna solat, bacaan al-Quran
dan hadisnya. Maka bersyukurlah, tetapi jangan dihina anak- anak yang lahir
dalam keluarga yang porak- peranda. Kita tidak tahu pahala yang diberi Allah
atas payah jerihnya mereka mencari agama.
Bersyukurlah
andai kita diberi rezeki beramal ibadah, namun ibadah itu hancur sama sekali
saat kita berasa hebat dengannya dan meremehkan orang lain. Berasa dan mengaku
diri lebih hebat berbanding dengan orang lain.
Ingatlah
sejarah Iblis laknatullah yang hebat ibadahnya namun terhumban keluar
dan golongan dilebihkan kedudukannya kerana ada satu sikap iaitu sombong. Sikap
sombong telah menjadikan iblis hamba yang paling rugi di dunia ini.
Sesungguhnya,
iblis sentiasa berusaha untuk membenihkan perasaan sombong dalam diri setiap
manusia agar tergolong sebagai hamba yang paling rugi di akhirat nanti sama
seperti iblis.
No comments:
Post a Comment