Propaganda musuh politik UMNO yang beredar
di media sosial sedikit sebanyak memberikan kesan kepada ahli UMNO. Lebih
menyedihkan lagi, ada di kalangan ahli UMNO sendiri yang mencanangkan dan
bahkan mempromosikan dakyah propaganda lawan terhadap parti sendiri.
UMNO tidak lahir dari kebencian terhadap
Inggeris, tetapi dari kecintaan terhadap nasib anak bangsa. UMNO tidak lahir
dari jalanan, tetapi dari perkarangan Istana yang penuh dengan keagungan dan
usaha yang gigih.
Jika UMNO lahir dari kebencian, bagaimana
mungkin parti itu menerima parti GERAKAN yang pernah bersama-sama dengan DAP
mencetuskan peristiwa berdarah 13 Mei 1969?
Jika UMNO lahir dari kebencian, bagaimana
mungkin parti keramat Melayu itu menerima PAS yang pernah mengkafirkan ahi UMNO
dan mengharamkan setiap ibadah yang dilakukan?
Jika UMNO lahir dari kebencian, bagaimana
mungkin pemimpin dan ahlinya terus menjadi pembela nasib rakyat, walaupun
rakyat menolak ketika PRU14?
UMNO lahir dari kasih sayang terhadap nasib
bangsa dan sumpah setia kepada raja serta ketaatan kepada agama Islam yang
tercinta.
Bagaimana mungkin UMNO ingin melihat negara
ini berkecamuk tanpa kerajaan setelah tidak ada pihak yang mampu mendapatkan
majoriti setelah PRU15?
Bagaimana mungkin UMNO ingin melihat rakyat
terus menderita setelah ekonomi kita digagalkan oleh tangan rakus Perikatan
Nasional?
Bagaimana mungkin UMNO ingin melihat tidak
ada semak dan imbang di dalam kerajaan untuk memastikan Islam, Melayu, dan
kedaulatan Raja-Raja terpelihara seperti pasca PRU14?
Keberadaan UMNO dalam kerajaan hari ini sebenarnya
jauh lebih baik daripada keberadaan PAS dalam kerajaan Pakatan Rakyat pada
tahun 2008. Janganlah kita lupa, PAS terpaksa tunduk kepada tuntutan DAP untuk
membenarkan penjualan arak di kawasan majoriti Melayu di Selangor, yang pada
akhirnya memecat Datuk Hassan Ali dari PAS.
Kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan
adalah lebih baik daripada ketika PPBM menjadi sebahagian dari kerajaan Pakatan
Harapan selepas PRU14. Ahli UMNO tidak boleh melupakan bagaimana PPBM menyepi
dalam isu ICERD dan Statut Rom, dan ahli UMNO terpaksa bertindak sendiri untuk
membantah hingga mengundang campur tangan Raja-Raja Melayu.
Hakikatnya, dengan kehadiran UMNO dalam
kerajaan hari ini, DAP dan PKR menjadi lebih berhati-hati. Hingga saat ini,
mereka tidak melakukan tindakan yang biadap yang melanggar kesucian Islam dan
kedudukan orang Melayu.
Janganlah ahli UMNO terpedaya dengan
propaganda dan dakyah lawan yang ingin merosakkan kekuatan yang baharu ingin
bangkit. Belajarlah dari kesilapan yang lalu.
Ahli UMNO pernah terpedaya dengan dakyah
untuk menolak Pak Lah, dan apa yang terjadi kepada selepas itu?
Ahli UMNO pernah terpedaya dengan dakyah
untuk menolak Datuk Seri Najib, dan apa yang terjadi selepas itu?
Akhirnya, ahli UMNO seperti tidak pernah serik
apabila sekali lagi terpedaya dengan dakyah untuk menolak Datuk Seri Zahid
Hamidi. Akibatnya UMNO menjunam pada PRU15 yang lalu?
Belajarlah daripada sejarah. Sejarah tidak
pernah menipu. Dan sejarah akan berulang-ulang selagi sesuatu bangsa tidak
pengajaran daripada sejarah buruk yang lalu.
Renungkan kata-kata dari pengasas UMNO, Datuk
Onn Bin Jaafar: “Kita hendaklah mengesek biola dengan kuat akan lagu gesekan
kita, jangan sampai orang lain yang mengesek dan kita hanya menari sahaja
mengikut lagu gesekan tersebut.”
No comments:
Post a Comment