Tuesday, 18 July 2023

TIGA GOLONGAN KAFIR DI MADINAH ZAMAN RASULULLAH

 
Ketika pemerintahan Rasulullah SAW di Madinah, masih terdapat mereka yang tidak memeluk Islam. Bahkan, pada awal hijrah Rasulullah SAW, bilangan bukan Islam lebih ramai berbanding dengan yang telah menganut Islam.
 
Ahli sejarah meriwayatkan ketika Nabi SAW berada di Madinah, sikap kaum kafir terhadap Baginda terbahagi kepada tiga golongan.
 
Golongan pertama mereka yang melakukan perjanjian damai untuk tidak memerangi Baginda selain memberi bantuan menghapuskan musuh. Mereka juga mendapat jaminan keamanan sama ada nyawa atau harta.
 
Golongan kedua ialah yang memerangi Baginda dan menunjukkan sikap permusuhan.
 
Manakala golongan ketiga, yang tidak mempedulikan, tidak mengadakan perdamaian, tetapi tidak memerangi Baginda.
 
Bahkan mereka menantikan terjadinya pertentangan antara Baginda dengan musuhnya. Sebahagian golongan itu ada yang secara diam-diam menginginkan Baginda mendapat kemenangan terhadap musuhnya.
 
Tetapi sebahagian lagi bersikap berpura-pura menyenangi Nabi SAW tetapi hati kecilnya lebih tertumpu untuk memihak kepada musuh, kerana ingin memperoleh keselamatan daripada kedua-dua belah pihak yang bermusuhan.
 
Golongan terakhir inilah yang disebutkan golongan munafik. Nabi SAW melayani tiap-tiap golongan itu sesuai dengan perintah Tuhan kepadanya.
 
Contohnya, dengan bangsa Yahudi Madinah Baginda mengadakan perjanjian damai dan mengadakan akta keamanan.
 
Sebenarnya perbezaan agama tidak menghalang kita untuk berbuat baik, berkasih sayang dan bertoleransi dalam perkara yang diizinkan syariat. Islam adalah agama perdamaian dan agama toleransi.
 
Perkara awal dilakukan Rasulullah SAW setiba di Madinah ialah mengadakan perjanjian dengan orang Yahudi. Antara inti pati perjanjian ialah negara Islam Madinah perlu menghormati kepercayaan dan agama, mempertahankan mereka dari segala bentuk ancaman dan menjadikan mereka sebahagian daripada masyarakat Madinah

No comments:

Post a Comment