Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan,
Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan ini adalah
peluang untuk UMNO membuktikan bahawa parti keramat Melayu itu masih diterima
rakyat.
Peluang untuk memperlihatkan keikhlasan dan
semangat kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH)
adalah langkah yang membawa kepada kebaikan kepada UMNO.
Ahli UMNO perlu menolak musuh dalam selimut
dan golonan munafik yang masih berada di dalam UMNO. Mereka menyatakan masih
sayang dan setia kepada UMNO, tetapi tidak menerima tindakan kepimpinan tertinggi
parti, khususnya Presiden yang membentuk hubungan dengan PH.
Seruan agar tidak memenangkan calon UMNO
pada PRN dengan harapan akan memberi isyarat kepada Presiden dan pemimpin
tertinggi parti agar meninggalkan “musuh” yang ingin membantu adalah langkah ke
belakang. Pelik sungguh golongan yang ingin melihat UMNO kalah pada PRN nanti.
Ahli UMNO perlu melakukan hijrah besar
untuk mengelakkan mudarat yang lebih teruk akan berlaku. Berkawan dengan “musuh” lebih
baik jika ia memberi kekuatan, berbanding bekerjasama dengan kawan yang
menjadikan UMNO lebih lemah.
Berjasama dengan Perikatan Nasional (PN)
memberi pengajaran besar untuk menilai erti persahabatan. Kononnya berjuang atas
landasan sama demi agama, bangsa dan negara, rumahnya ada udang di sebalik
batu. Kesetiaan dan kesungguhan UMNO dipersia-siakan apabila ahli gabungan PN
melakukan khianat dan tikam belakang.
Bersahabat dengan “musuh” bukan satu dosa.
Jika ia bertujuan mencipta kebaikan, itu satu pahala. Jangan terlalu takut
kepada “musuh” yang ingin dijadikan sahabat. Memang bukan bermakna percaya 100
peratus, kerana dengan sahabat pun bukan boleh percaya 100 peratus. Banyak sahabat
sanggup tikam belakang, menjadi gunting dalam lipatan dan api dalam sekam.
Ingat, banyak bangsa musnah bukan kerana
diserang musuh, tetapi disebabkan musuh dalam selimut. Banyak yang mengaku setia,
tetapi menangguk di air keruh.
Sedangkan musuh memang kita sentiasa
berjaga-jaga dengan tindak tanduk mereka. Kita lebih berhati-hati. Sebab itu
ada orang lebih rasa selamat berkawan dengan “musuh” berbanding dengan kawan
yang mengaku setia.
No comments:
Post a Comment