Sikap segelintir ahli politik yang kurang
tertib dalam berkata-kata sehingga sewenangnya mengeluarkan 'fatwa haram'
kepada pihak tertentu adalah tidak wajar. Tindakan sedemikian berisiko untuk
mencetuskan permusuhan.
Pemimpin politik sepatutnya bercakap mengenai
perkara dan usaha untuk membangunkan negara, bukan tuduh-menuduh antara satu
sama lain yang akhirnya hanya mengundang sengketa.
Bercakaplah hal politik. Politik adalah
usaha untuk membangunkan negara. Ahli politik yang berwibawa akan mengetengahkan
isu dalam kempen (mengenai) apa yang mahu dibuat dan tidak menggunakan kempen
untuk menjatuhkan satu sama lain.
Kalaupun difikirkan perbuatan tuduh menuduh
itu seolah-olah satu “keperluan” dalam politik, jangan diseret kepada hal yang
menyentuh hukum.
Janganlah menyebut 'haram' mengundi mana-mana
calon sekalipun. Sesuatu yang diharamkan bermakna sesiapa yang melakukan
perbuatan itu adalah berdosa. Manakala jika diungkapkan perkataan “wajib”,
sesiapa yang tidak melakukan pula dianggap berdosa.
Soal halal dan haram jangan dipermainkan.
Jika dianggap satu keperluan untuk menentukan halal dan haram tentang sesuatu,
biarlah pihak berkuasa agama melalui muzakarah menentukan.
Orang politik bercakap dengan penuh “muslihat”.
Janganlah urusan agama juga hendak dipolitikkan sehingga mencetus perbalahan.
Islam amat menegah perbuatan yang boleh menyebabkan persengketaan yang akhirnya
merugikan semua pihak yang terlibat. Menang jadi arang, kalah jadi abu.
Penyokong parti dan pemimpin tertentu juga
diingatkan tidak bertindak di luar kawalan dengan memainkan serta memperbesar
isu tertentu, yang akhirnya hanya mengundang perbalahan sesama sendiri.
Sepatutnya kelebihan yang ada pada
masing-masing itu kita bangunkan, bukan kita menghujani peluru untuk
menghancurkan sesuatu pihak. Jadi kita takut, kalau kita tak berhati-hati, kita
akan hilang segalanya.
Dalam sejarah umat Islam, kejatuhan mereka
berpunca daripada perselisihan dan perpecahan sesama sendiri.
Sudah jelas, sepanjang sejarah umat Islam
perselisihan dan perpecahan akhirnya mengakibatkan atau menjadi faktor penyebab
kepada kemunduran dan ketinggalan umat Islam itu sendiri.
Perkara ini kita harus prihatin, jangan
merumitkan keadaan atau pertembungan yang berlaku dalam kelompok umat ini,
lebih-lebih lagi dengan memperbesarkan isu yang tak patut dibesarkan.
Gambar sekadar hiasan
No comments:
Post a Comment